Pelakon terkenal, Zila Bakarin, baru-baru ini berkongsi pengalaman mendalam mengenai penghijrahan dirinya menerusi podcast Borak Selebriti, yang dikendalikan oleh DJ Radio Dina Nadzir dan Falyq Hikyle.
Keputusan untuk berhijab yang diambilnya pada Februari 2020 itu, menurut Zila, berlaku selepas satu insiden yang mengubah pandangannya terhadap kehidupannya.
Kisah Zila, atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, bermula ketika dia berdepan dengan perasaan aneh semasa mahu mengambil anaknya pulang dari sekolah.
Aktres berusia 49 tahun ini menceritakan bahawa ketika itu, dia tiba-tiba merasa seperti berada dalam keadaan telanjang, menyebabkan dirinya menggigil ketakutan.
“Pagi itu saya hantar anak ke sekolah, dengan memakai baju tidur dan seluar pendek seperti biasa.
Tetapi tengah hari, ketika hendak mengambil anak, saya membuka almari, dan entah kenapa, saya memilih seluar jeans panjang dan sweater tebal. Walaupun cuaca panas, saya rasa sejuk sangat, dan seolah-olah tubuh saya telanjang
. Muka saya terasa seperti membengkak. Perasaan itu sangat menakutkan, dan saya terfikir, adakah ini petanda saya bakal mati?” katanya, mengenangkan saat-saat tersebut.
Detik tersebut menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Zila menceritakan bahawa dia merasakan seolah-olah ada suara yang membisikkan kepadanya untuk mengenakan selendang di kepalanya. Perasaan itu sangat mendalam, sehingga dia yakin ia merupakan petunjuk dari Allah.
“Saya masuk bilik dan melihat sehelai selendang. Ada bisikan yang menyuruh saya mengambil dan memakainya. Bila saya sarungkan selendang itu, rasa seperti kepala saya disiram air sejuk. Perasaan saya menjadi tenang dan normal semula.
Pada waktu itu, saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang Allah cuba tunjukkan kepada saya?
Adakah ini tanda bahawa saya terlalu mementingkan pakaian saya sehingga terlupa tentang aurat?” ujarnya dengan penuh keinsafan.
Menurut Zila, keputusan untuk berhijab bukan sahaja disambut baik oleh dirinya sendiri, malah ia mendapat sokongan penuh daripada suami dan anak-anak.
Bahkan, Zila bertekad untuk tidak mahu suaminya, Azri Izhar, dipersoalkan tentang auratnya oleh Allah kelak.
“Saya terus pakai selendang itu dan anak saya memuji, mengatakan saya kelihatan lebih cantik apabila menutup aurat dengan sempurna. Suami saya mula bertanya, tetapi saya jelaskan padanya bahawa saya tak mahu dia ditanya tentang aurat saya di akhirat nanti,” tambahnya lagi.
Penghijrahan Zila Bakarin ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada ramai, tetapi juga mengingatkan kita bahawa setiap perubahan dalam hidup kita sering kali mempunyai makna yang lebih besar dan mendalam.
BACA: Rupanya ini sebab doktor larang beri bayi minum air masak,ramai yang dah terbuat
2 thoughts on “Zila Bakarin dedah kejadian pelik ketika jemput anak balik sekolah jadi punca berhijrah”