Zahid tegaskan sedia dicabar mana-mana yang nak bertanding Presiden Umno. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia dicabar oleh mana-mana calon dalam saingan kedudukan jawatan nombor satu UMNO pada pemilihan akan datang.
Menurutnya, sebelum ini kedudukan beliau pernah dicabar oleh dua calon, namun kombinasi undi tidak mampu menyainginya.
“Bukan riak, sombong, takabbur ataupun ujud, tetapi itu terbukti pada tahun 2018,” katanya ketika sidang akhbar sempena Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata, kuasa dan suara 160,000 perwakilan menjadi penentu sama ada berlaku perubahan pimpinan tertinggi UMNO ataupun tidak bagi memastikan parti dan BN kekal relevan di dalam pentas politik tanah air.
“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan adalah terletak pada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai persoalan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan pada pemilihan UMNO yang bakal diadakan pada tahun ini.
Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan pandangan bahawa dua jawatan tertinggi parti itu perlu dipertandingkan antaranya, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang berpendapat ia perlu dilakukan demi maruah UMNO.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpandangan sebaliknya pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak perlu diadakan.
Ini kerana katanya, hanya empat kali pemilihan presiden berlaku sepanjang sejarah penubuhan 70 tahun UMNO.
Sementara itu, ditanya mengenai jemputan mana-mana parti di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) yang dijadualkan minggu depan, Ahmad Zahid berkata, untuk PAU akan datang belum berhasrat untuk menjemput parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi majlis ucapan dasar dan perasmian.
“Tetapi kita akan bagi jemputan mungkin pada peringkat awal kepada Setiausaha Agung daripada gabungan parti di dalam kerajaan Perpaduan,” katanya.
PAU 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada 11 hingga 14 Januari 2023.
Turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas pada Jumaat.
BACA JUGA :
Pelakon siri popular ‘Nur’ Kamsani Ismail meninggal dunia