Zahid mohon maaf kepada rakyat kerana isu dibangkitnya tidak dilayan kerajaan PN

Zahid mohon maaf kepada rakyat kerana isu dibangkitnya tidak dilayan kerajaan PN

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kepada rakyat jika isu-isu berkaitan bebanan masyarakat yang beliau ketengahkan melalui media sosial tidak dilayan pihak berwajib.

Beliau berkata, orang ramai diharap memahami keadaan beliau yang kini tiada sebarang kedudukan dalam membuat keputusan bagi pihak kerajaan.

“Saya tahu ramai saudara saudari meminta supaya saya mengetengahkan lebih banyak isu. Terutama berkaitan bebanan dan kesukaran hidup pada masa ini, pengangguran dan bermacam lagi namun saya berharap saudara saudari memahami jua saya tiada dalam sebarang kedudukan untuk membuat keputusan bagi pihak kerajaan.

“Jika perkara yang dibangkitkan itu tidak dilayan pihak berwajib, saya cuma mampu memohon maaf kepada saudara saudari,” katanya melalui hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, meskipun beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, tetapi ia bukanlah bersifat partisan, bahkan ada kuasa yang lebih mendahului mereka.

“Saya adalah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang tidak memegang tampuk pentadbiran negara.

“Jika anda melihat saya sebagai orang yang boleh bersuara… Ya. Saya ada melakukannya seperti yang saya lakukan dalam pembentangan Bajet dan banyak lagi sebelum ini.

“Saya ingat saya juga boleh bersuara melalui Parlimen tetapi apakan daya, persidangan tidak dibenarkan sekarang,” katanya. – SH

COMMENTS