Zahid-Hadi saling tembak menembak selepas gambar perjumpaan ‘bocor’. Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kecewa dengan kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa UMNO dicemari skandal rasuah dan dibarisi pemimpin rakus serta masih belum bertaubat.
Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyifatkan tuduhan dibuat Presiden PAS itu bukan sahaja tidak berasas, malah tidak wajar sama sekali.
“Saya percaya dia berkata demikian berdasarkan pemerhatian dan pandangan peribadinya. Kalau saya nak mengaibkan dia pun boleh, tapi saya ada akhlak untuk tidak mengaibkan sesiapa, lebih-lebih lagi yang punya ilmu agama yang tinggi.
“Jadi jangan gunakan agama untuk tujuan politik, kita seharusnya menggunakan politik untuk memperkukuh agama. Untuk melabel parti politik sama seperti mana-mana haiwan, tumbuhan, atau buah-buahan adalah tidak wajar,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini hari ini, Ahmad Zahid turut membalas analogi buah durian digunakan Abdul Hadi dalam kenyataannya kelmarin.
“Saya khuatir, buah durian durinya tajam, siapa yang ada di bawah jika durian itu jatuh, saya takut lukanya itu dan tajam durinya akan kena kepala kalau tak kena badan. Jadi jangan main-main dengan durian,” katanya.
Dalam kuliah duha di Marang pada Jumaat lalu, Presiden PAS memberikan analogi kerjasama partinya dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) seperti memakan ‘durian belum masak’ yang jika idimakan, boleh menyebabkan sakit perut.
Kenyataan itu ketika Abdul Hadi memberi penjelasan mengapa PAS memilih mengekalkan kerjasama dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) dalam berdepan PRU-15, sambil menambah BN sebagai ‘membebankan’ disebabkan ‘kekeruhan’ dalaman.
Terdahulu pada Khamis lalu, Presiden PAS mengumumkan parti diterajuinya memutuskan untuk mengukuhkan kerjasama politik dengan PN bagi menghadapi PRU-15 demi perpaduan ummah.
Abdul Hadi dipetik berkata, PAS menangguhkan hasrat bekerjasama dengan UMNO bagi membolehkan UMNO menjernihkan kekeruhan, termasuk dibebani isu rasuah, selain disebabkan ada pemimpin parti itu rakus mahu memerintah negara serta ada penerima rasuah.
Pendirian itu sekali gus tidak menepati tiga syarat utama ditetapkan UMNO yang mesti dipenuhi PAS sebelum boleh dimulakan sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama kedua-dua parti menjelang PRU-15.
Tiga syarat utama ditetapkan kepada PAS itu ialah keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan BERSATU dan perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa PAS sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan BERSATU.
BACA:
“Kembar Amir Masdi ke ni?” – Netizen
Anak terlalu rapat dengan pengasuh India, menangis tak nak balik bila ibu ajak
Lelaki tertinggal isteri di stesen minyak jadi bahan ketawa, ‘biasa dengan anak je’