Yusof Haslam rayu Syamsul berbaik dengan Sarah semula. Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam meminta anaknya yang juga pengarah, Syamsul dan isteri, Puteri Sarah Liyana segera menjernihkan kemelut yang melanda rumah tangga mereka sejak empat tahun lalu.
Sebagai bapa, Yusof mengakui dia terkilan dan sedih dengan perkara itu serta berharap ia dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.
“Secara peribadi, saya rasa tidak adil jika rumah tangga mereka berakhir dengan perpisahan. Itu adalah perkara yang amat menyedihkan dan saya tidak melihat apa-apa kebaikan di situ.
“Saya dan isteri sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka, anak-anak dan besan kami. Demi anak-anak dan nama baik keluarga, selesaikanlah dengan cara yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kemelut rumah tangga pasangan tersebut yang tercetus gara-gara gangguan orang ketiga, berlanjutan sejak tahun 2019.
Puteri Sarah pada Jun lalu memfailkan satu tindakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor berhubung gangguan yang diterimanya daripada individu yang didakwa sebagai kekasih Syamsul, Ira Kazar.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengekalkan perintah interim injuksi, antara lain memerintahkan Ira agar berhenti mengeluar, menyebar dan menghantar kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah dalam media sosial.
Ira dalam pada itu sehingga kini mengambil pendekatan mengunci mulut dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu, Yusof juga berharap Syamsul dan Puteri Sarah tampil menyelesaikan perkara ini dan tidak membiarkan ia terus meruncing.
“Saya bangga dengan apa yang dicapai Syamsul ketika ini. Saya hormat dia. Cuma saya harap dia tak lupa asal usul.
“Dalam hal rumah tangga, saya minta dia dan Puteri Sarah perbetulkan keadaan. Saya dan isteri tak mahu melihat mereka bercerai,” katanya lagi.
BACA:
‘Saya nak curi tali je, tak tahu kambing ikut sekali dibelakang’
Apa dah jadi dengan Engku Emran dan Noor Nabila?
Isteri tabligh luah perasaan, abai nafkahnya masa keluar dakwah, kahwin lain