Yuran kuarantin RM737 per individu pekerja amat membebankan majikan

Yuran kuarantin RM737 per individu pekerja amat membebankan majikan

Kerajaan Pulau Pinang mendesak Putrajaya menangguh bayaran “kuarantin dan rawatan” bernilai RM737 ke atas pekerja asing yang positif Covid-19 kerana ia membebankan majikan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Abdul Halim Hussain berkata, bayaran tinggi itu hanya akan mendorong majikan tidak menyaring pekerja mereka dan menjejaskan usaha mengekang wabak itu.

Putrajaya mewajibkan pekerja asing di semua sektor, termasuk pembinaan dan pembuatan, menjalani ujian Covid-19 mulai 1 Jan lalu dengan kosnya ditanggung majikan.

Halim dalam kenyataan berkata, langkah mewajibkan majikan menanggung kos kuarantin dan rawatan itu dilakukan tergesa-gesa tanpa mengambil kira beban kewangan majikan sedia ada dalam berdepan Covid-19.

Katanya, kerajaan persekutuan seolah-olah tiada mempamerkan sebarang “keadilan” untuk membantu majikan dan pekerja asing dengan tidak menyediakan subsidi untuk mengurangkan kos saringan pekerja asing.

Beliau berkata, kebanyakan syarikat pembuatan di Pulau Pinang sudah melaksanakan langkah pencegahan Covid-19 yang ketat.

Berdasarkan pekeliling 21 Jan dari Timbalan Ketua Setisauaha (Kewangan) Kementerian Kewangan, Harjeet Singh kepada semua pengarah kesihatan negeri, pekerja asing yang dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah dikenakan bayaran RM737 untuk tempoh 10 hari atau pada kadar RM73.70 sehari.

Dalam pekeliling yang dilihat FMT itu, bayaran berkenaan meliputi penginapan, ujian saringan Covid-19 dan ubat-ubatan, yang akan ditanggung majikan. Arahan itu berkuat kuasa mulai 21 Jan lalu dan mereka yang berstatus PLKS atau Pas Lawatan Kerja Sementara juga perlu membayar jumlah sama. – FMT

COMMENTS