World Cup: Agong berkompang di Qatar. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencatatkan momen indah bersana rakyat Malaysia di bumi Qatar, kelmarin.
Baginda ketika itu berkenan berangkat ke Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Doha semalam, sempena lawatan khas Seri Paduka Baginda ke Qatar.
Tindakan spontan baginda yang terkenal dengan jolokan pemimpin berjiwa rakyat itu, meraih keterujaan seluruh rakyat Malaysia dan Kelab kompang Qatar (KKQ) yang terdiri daripada anak-anak perantauan Malaysia di Qatar.
Video berdurasi 2.48 minit itu mencatatkan sebanyak 392,100 jumlah tontonan setakat dikongsikan sejak semalam di TikTok milik Nizal Mohammad, dengan 22,700 tanda suka.
“Terbaik Tuanku YDPA main kompang terus bersemangat semuanya. Terbaik Tuanku,” komen Tok Ummie Nuruliman1330.
“Beruntunglah dapat bermain kompang bersama raja Melayu. Lagi menarik Agong pulak tu,” kata JEMiEE pula.
“Kompang tu automatik jadi mahal sebab akan jadi bahan sejarah,” kongsi QuAirel.
Untuk rekod, KKQ dikenali sebagai kumpulan kompang tempatan yang mengetengahkan budaya Melayu kepada dunia dengan membuat persembahan kompang di pekarangan Stadium Lusail, Qatar sepanjang Piala Dunia berlangsung.
Sekumpulan anak Malaysia ini dipilih oleh kerajaan Qatar untuk mempersembahkan seni kompang dalam temasya terbesar bola sepak dunia itu.