Seorang warga emas berusia 81 tahun teruja selepas menemui wang berjumlah RM22,925 di rumahnya di Kampung Tigo Diate, bandar Payakumbuh.
Palyuri, yang dikenali sebagai Biyok, menjumpai wang tersebut semasa membersihkan rumahnya
yang dipenuhi dengan longgokan pakaian yang diberikan oleh orang ramai.
Ketua Kampung Tigo Koto Diate, Musleniyetti, berkata penduduk kampung turut membantu mengeluarkan pakaian dan barang-barang milik Biyok.
Beliau menjelaskan bahawa wang tersebut ditemui berselerakan di dalam rumah Biyok, dengan pecahan dari 100 rupiah (dua sen) hingga 100,000 rupiah (RM28).
“Wang tersebut banyak terdapat di lantai, dalam pakaian, di bawah bantal dan tilam. Banyak sangat wang yang dijumpai bermula dari 25 hingga 100 rupiah,” katanya.
Menurut Musleniyetti, proses mengira wang tersebut agak sukar dan memakan masa yang lama.
Pada hari pertama, lapan orang terlibat dalam pengiraan, dan bilangan tersebut meningkat kepada 16 orang pada hari kedua.
Wang itu akan disimpan di Bank Nagari atas nama Biyok, dan masih terdapat beberapa guni wang yang belum dikira.
“Setakat ini, jumlah wang yang kami kira sudah melebihi 80 juta rupiah, belum termasuk wang yang ada di bank. Kami akan mengira jumlah keseluruhan setelah semua wang dikeluarkan,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa wang yang dikumpul oleh Biyok bukanlah hasil dari meminta sedekah, tetapi merupakan pemberian daripada orang lain.
Biyok dikenali kerana sering membantu orang lain tanpa diminta, terutama semasa majlis perkahwinan, dan sering menerima penghargaan dalam bentuk wang tunai.
BACA: Tular not RM50 gambar Agong pertama senyum “Kalau tak tengok betul boleh tertipu!”