Warga emas ambil upah panjat pokok meninggal dunia atas pokok

Warga emas ambil upah panjat pokok meninggal dunia atas pokok

Seorang warga emas ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dalam keadaan tersangkut pada ketinggian kira-kira lapan meter di dahan pokok semarak berhampiran rumahnya di Tanjung Mas di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa Pegawai Bomba Kanan II Rusli Muhammad berkata Zakaria Adam, 62, ditemukan terkulai di dahan pokok berkenaan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.40 pagi.

“Sebaik menerima panggilan, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera digegaskan ke lokasi sebelum tiba lapan minit kemudian. Kami dimaklumkan bahawa mangsa yang mengambil upah menebang pokok tersebut pengsan dan tersangkut pada dahan pokok.

“Sebaik diturunkan anggota bertindak memberikan rawatan awal namun didapati tiada tindak balas. Sepasukan kakitangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang membuat pemeriksaan di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Abd Rahim Daud ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123695/BERITA/Semasa/Warga-emas-meninggal-dunia-atas-pokok