DULU, hidupnya penuh keseronokan dan jauh daripada landasan agama. Dunia hiburan yang melalaikan serta gaya hidup mewah membayangi dirinya.
Namun, perjalanan hidup wanita ini berubah 360 darjah selepas menemui hidayah dan mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang sederhana.
Menerusi perkongsian di platform media sosial X, wanita tersebut menceritakan liku-liku hidupnya yang pernah terjerumus dengan najis dadah dan keseronokan duniawi.
“Sebelum kahwin, aku jenis bimbo, masuk bilik goyang, pergi kelab malam. Hidup aku seronok, keluarga memang berada, lebih daripada cukup.
Aku kerja jual kereta mewah, umur baru 30 tahun. Tapi suami aku lain sangat dengan aku—keluarga dia biasa-biasa, jaga solat, dan dia cuma pemandu Grab full-time,” ujarnya.
Walaupun perbezaan status antara mereka begitu ketara, wanita ini tetap memilih untuk menerima lelaki itu seadanya.
“Suami aku baik, dia innocent sangat. Dia pernah menangis sebab rasa tak mampu mewahkan aku, tapi dia ikhlas nak bahagiakan aku. Walaupun keluarga aku tak galakkan kahwin sebab perbezaan status, aku tetap pilih dia,” katanya lagi.
Namun, seperti pasangan lain, alam perkahwinan mereka tidak terlepas daripada ujian. Ada saatnya wanita ini pernah merasakan penyesalan atas keputusannya, namun kebaikan dan kasih sayang suaminya membuatkan dia terus bertahan.
“Awal kahwin, ada terdetik menyesal. Nafkah dia bagi cuma RM600 sebulan, rumah pun sewa je. Aku ada kondo di Mont Kiara, simpanan lebih RM3 juta, tapi dia tak pernah ambil kesempatan. Pernah aku tengok baki akaun dia tinggal RM7, tapi dia tetap senyum, layan aku, belikan aku nasi ayam penyet walaupun aku tahu dia pinjam duit kawan,” kongsinya dengan penuh emosi.
Perlahan-lahan, wanita ini meninggalkan kehidupan lamanya. Dia mula menjaga aurat, mendirikan solat, dan menjalani hidup lebih tenang. Kini, mereka dikurniakan dua cahaya mata yang mewarnai kehidupan rumah tangga mereka.
“Dulu aku suka enjoy, ambil dadah, pergi private party, tapi sekarang semua dah berubah. Aku gembira dengan hidup aku sekarang.
Dua anak aku ikut muka ayah dia—kacak macam suami aku. Aku bersyukur dengan kehidupan yang sederhana tapi penuh bahagia ini,” katanya.
Sebagai penutup, wanita itu menitipkan pesanan kepada kaum wanita agar tidak berputus asa dalam mencari lelaki yang benar-benar menghargai dan menjaga mereka.
“Percayalah, suatu hari nanti akan ada lelaki yang mampu menjadi pelindung dan pembimbing. Jangan pernah takut untuk memilih kebahagiaan yang sebenar,” katanya, penuh keinsafan.
BACA: Che Ta kata anak dah bayar hutang hampir RM 1 juta, sekali lain pula pendedahan pengerusi Mara