Wanita kongsi realiti kehidupan pesakit mental tak boleh dengar bunyi ini

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Hidup sering kali dihiasi dengan cabaran yang berbeza untuk setiap insan, perjuangan yang hanya difahami oleh mereka yang melaluinya.

Salah satu cabaran tersebut adalah berkaitan kesihatan mental, di mana seseorang perlu berhadapan dengan perasaan dan emosi yang bercelaru di dalam diri.

Baru-baru ini, menerusi satu hantaran di media sosial, seorang wanita berkongsi pengalamannya menangani depresi yang dianggap berbeza daripada kebanyakan individu lain.

Menurutnya, dia menghadapi kesukaran untuk tidur malam jika biliknya terlalu sunyi tanpa sebarang bunyi latar.

“Akan timbul rasa gelisah kalau bilik terlalu senyap, tiada bunyi seperti kipas, angin, muzik, atau bunyi-bunyi lain.

Wanita kongsi realiti kehidupan pesakit mental tak boleh dengar bunyi ini

“Mungkin ia satu bentuk respons terhadap trauma ditinggalkan atau diabaikan. Suara atau bunyi ini seolah-olah menghantar mesej palsu ke otak saya bahawa saya tidak bersendirian, seolah-olah ada seseorang menemani saya,” jelas wanita tersebut.

Dia turut menambah bahawa untuk mendapatkan tidur yang lena, dia memerlukan banyak bantal untuk dipeluk dan biliknya harus gelap sepenuhnya.

“Orang Normal Janganlah Pandang Serong”

Hantaran tersebut menarik perhatian ramai netizen yang memberikan sokongan dan berkongsi pengalaman mereka sendiri. Ramai yang meminta masyarakat supaya tidak memandang pelik atau janggal terhadap keperluan individu yang berbeza seperti itu.

“Orang yang normal janganlah bagi tanggapan serong terhadap kami. Cara ini membantu kami untuk terus hidup bersama depresi, membantu kami ‘survive’ dalam keadaan diri yang begini,” tulis seorang pengguna.

“Saya pun perlu buka filem setiap malam, bukan untuk tonton, tapi untuk bantu saya tidur,” tambahnya.

Seorang lagi pelayar berkongsi, “Betul, saya pun kena ada bunyi-bunyi dalam bilik tidur. Kalau tak, minda saya jadi ‘bising’, bermacam-macam suara yang bercakap benda buruk akan keluar dalam otak. Ini berlaku sejak saya dikhianati oleh pasangan saya.”

Pengalaman Berbeza, Keperluan Berbeza

Ada juga yang berkongsi cabaran unik mereka dalam menangani situasi ini.

“Kalau saya pula, saya tak boleh dengar bunyi berulang seperti ketukan meja atau siulan, nanti jadi tak senang duduk. Hati mula berdebar seolah-olah sesuatu yang buruk akan berlaku,” tulis seorang netizen.

“Sangat memahami, bunyi bising seperti filem atau muzik membuatkan saya tenang. Tanpa itu, saya sukar untuk tidur,” tambah seorang lagi.

Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa setiap individu yang berdepan cabaran kesihatan mental mempunyai cara tersendiri untuk bertahan.

Keprihatinan dan empati masyarakat sangat penting untuk menyokong mereka dalam perjuangan ini.

BACA: Kakak ‘cleaner’ terkejut makanan daripada pegawai ,staf minta pulangkan balik