Meskipun zaman sudah serba moden, masih ramai yang hidup dalam kesempitan, dengan keadaan
“kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” lebih-lebih lagi apabila harga barang semakin meningkat.
Tidak hairanlah ada yang terpaksa bekerja dua atau tiga pekerjaan demi memastikan keluarga dapat makan.
Seorang wanita di Kampung Seri Wangi, Simpang Lawin, menghadapi situasi getir apabila hanya mampu memberikan nasi kosong kepada tiga anaknya untuk mengalas perut.
Menurut laporan Majalah Pa&Ma, keputusan itu dibuat selepas suaminya, seorang tukang kebun sekolah, kehabisan wang.
Wanita berusia 30 tahun, dikenali sebagai Halimatul Saadiah, berkata keluarganya bergantung sepenuhnya pada pendapatan suami sebanyak RM1,500 sebulan.
Pendapatan itu juga perlu menampung kos rawatan anak bongsunya yang berusia dua tahun dan mengalami masalah penglihatan.
“Kesempitan wang memberi kesan kepada anak-anak kerana mereka kerap makan nasi putih kosong untuk mengisi perut. Lebih menyedihkan, dua anak kami yang berumur tujuh dan sembilan tahun sering berkongsi makanan dari Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah kerana hanya salah seorang mendapat bantuan itu.
“Kalau adik terlalu lapar, abang akan beri dia makan dahulu. Abang pula hanya makan apabila pulang ke rumah,” kata Halimatul, seperti yang dipetik oleh Majalah Pa&Ma.
Dalam keadaan terdesak, Halimatul pernah meminta bantuan beras daripada sebuah agensi kerajaan demi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan.
“Waktu itu kami benar-benar terdesak. Sebelum itu, kami telah menjual kereta, satu-satunya kenderaan yang kami ada, untuk menanggung kos rawatan anak. Kami hanya mahu memohon beras, bukan wang ringgit,” ujarnya.
Bagi meringankan beban suami, Halimatul mengambil kerja sambilan di sebuah kedai runcit selepas suaminya pulang, supaya anak-anak tetap terjaga.
Baca juga: Guna satu bahan ni buang kapur dekat mi kuning ‘gerenti’ hilang