SERING kali kita mendengar kisah wanita yang menderita akibat sikap ibu mentua yang toksik.
Namun, kisah wanita ini sangat berbeza, malah menyentuh hati.
Tidak mendedahkan identitinya, wanita tersebut berkongsi bahawa dia bersyukur memiliki ibu mentua yang sangat baik dan menyayanginya seperti anak sendiri.
Ironinya, layanan itu jauh lebih baik berbanding sikap toksik yang ditunjukkan oleh ibu bapa kandungnya.
“Saya bekerja dengan mak dan bapa mentua, hanya bantu promote barang yang mereka jual.
Dapatlah komisen. Walaupun tiada jualan, mereka tetap beri saya komisen kerana mahu membantu anak menantu.
“Mereka juga sangat sayang pada anak-anak saya. Komisen saya boleh cecah RM1,200 hingga RM1,500 sebulan,” katanya.
Namun, pengalaman bersama ibu kandungnya sangat berbeza.
“Setiap pertengahan bulan, emak saya sering tanya dah gaji ke? Lambat beli barang dapur, ada saja dia cari masalah. Guna mesin basuh salah, guna dapur salah, mandi salah, semua serba salah.
“Bila saya hulur duit, dia kata tak nak duit saya, cuma nak saya ‘beradab’. Tapi apa salah saya sebenarnya?” tambahnya lagi, yang kini tinggal sebumbung bersama ibu bapanya.
Bergelut Dengan Kehidupan Toksik
Wanita itu turut mendedahkan bahawa dia menghidap Major Depressive Disorder (MDD), tetapi ibu bapanya langsung tidak memberi sokongan moral.
“Mak saya selalu salahkan suami saya atas keadaan saya sekarang. Saya hidup dalam persekitaran yang toksik – mak ayah toksik, suami pun sama.
“Suami saya seorang panas baran, kaki pukul, dan juga mengambil barang terlarang. Ada yang tanya kenapa tak duduk sendiri? Rumah mentua tiada ruang privasi kerana adik-beradik suami semua lelaki.
“Namun, ibu mentualah yang selalu beri kata semangat, bawa saya ke klinik, dan bersusah payah membantu,” luahnya lagi.
Nasihat Warga Maya
Luahan wanita ini mengundang pelbagai reaksi dan nasihat daripada warganet.
“Lebih baik awak bawa diri dan cari kebahagiaan bersama anak-anak. Cuba minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara awak nak stabilkan keadaan.
“Kalau suami dah menyeksa awak, lebih baik berpisah. Cari rumah sewa kecil. Dengan komisen yang mentua awak beri, rasanya mampu sewa bilik.
“Awak juga boleh buat laporan polis jika didera. Kalau ada kesan lebam, pergi hospital untuk pemeriksaan dan hospital boleh hubungkan terus dengan JKM,” saran salah seorang netizen.
Wanita tersebut berharap dengan berkongsi kisah hidupnya, dia dapat menerima nasihat dan sokongan moral untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.
BACA: Betul ke ibadah tak diterima selama 40 hari sebab buat dosa, tak payah solat?