Hasrat seorang wanita untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang warga Nepal bertukar menjadi mimpi ngeri
apabila dia dijadikan mangsa pemerdagangan manusia dan pasportnya dirampas sejak tahun 2012.
Lebih malang, wanita berusia 57 tahun yang dikenali sebagai Mala Vello, turut dipenjarakan atas kesalahan imigresen
kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan selepas perkara tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Nasib Mala Vello mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran, yang kemudian memulakan usaha untuk membawa mangsa pulang ke Malaysia dengan memperkenalkan hashtag #bawabalikmala.
Sivaraj berkata, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi membantu mengkoordinasikan proses perundangan.
“Akhirnya, wanita itu tiba di Malaysia pada pukul 6.48 pagi semalam, menaiki penerbangan dari Kathmandu, Nepal,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Sivaraj berkata rakyat Malaysia, terutama wanita, dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenalai, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
“Saya ingin mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya. Kes Mala Vello harus menjadi pengajaran kepada semua.
“Mala telah melalui penderitaan selama 12 tahun, termasuk 10 tahun di penjara. Nasibnya berubah selepas bertemu dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memaklumkan situasinya kepada saya dan pihak kerajaan.
“Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai hubungan atau individu yang baru dikenali, terutama wanita, yang sering menjadi sasaran dalam aktiviti pemerdagangan manusia,” ujarnya.