Siapa yang tidak terkejut jika terjumpa ‘bendasing’ dalam makanan? Terutama jika bendasing itu adalah seekor serangga yang agak besar.
Perasaan geli dan rasa ingin muntah boleh timbul secara automatik apabila melihat benda sebegitu dalam makanan yang dimakan.
Itulah yang berlaku kepada seorang wanita apabila dia menemui seekor lipas dalam salah satu hidangan yang dipesannya!
Pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Bunga ini berkata insiden tersebut berlaku ketika dia menikmati makan malam
bersama keluarganya di sebuah restoran berhampiran rumahnya di Kuantan, Pahang.
“Saya berasal dari Kuala Lumpur… kebanyakan kedai makan penuh dan kedai ini sahaja yang tidak ramai pelanggan. Ketika itu pukul 10 malam, jadi saya singgah sebelum pulang ke rumah.
“Saya pesan nasi bersama telur dadar, sup daging, ayam paprik, dan minuman. Setelah menunggu lebih kurang sejam, barulah pesanan makanan sampai.
Bunga memuat naik gambar telur dadar yang mengandungi lipas di Twitter.
“Pada mulanya, saya tidak perasan langsung. Makanan sampai, terus kami makan. Saya nampak sesuatu yang hitam, tapi ingatkan itu bahagian yang garing. Namun, rupa-rupanya itu lipas. Terus saya panggil pelayan,” kata wanita berusia 29 tahun ini.
Menurut Bunga, selepas membuat aduan, dia terkejut dengan respon yang diberikan oleh pihak restoran.
“Pelayan itu hanya ketawakan saya dan menggantikan telur, sudu, dan garpu yang baru. Bila tanya bagaimana lipas boleh ada dalam makanan, dia kata tidak tahu.
“Saya minta untuk berjumpa dengan pemilik, tetapi katanya hanya anak pemilik yang ada. Saya tanya sekali lagi, perlu bayar juga ke? Anak pemilik masuk ke dalam dan keluar semula, kemudian memberitahu jumlah yang perlu dibayar adalah RM20.
“Bila saya persoalkan semula, anak pemilik tu kata sudah diskaun RM10 daripada jumlah asal RM30. Atas dasar kemanusiaan, saya bayar untuk apa yang saya makan. Makanan yang lain okay, cuma telur itu ada lipas,” ceritanya.
Antara komen netizen yang turut meluahkan rasa jijik dengan situasi yang dialami Bunga:
“Jaga kebersihan dan adab dengan pelanggan. Jangan buat seperti tiada apa-apa selepas diberitahu tentang bil.”
Bunga menjelaskan bahawa perkongsiannya di Twitter bukan untuk membuka aib atau menutup periuk nasi sesiapa, tetapi untuk menekankan kepentingan kebersihan dalam pengendalian makanan.
“Tolong jaga kebersihan dan juga adab dengan pelanggan. Tidak ada rasa bersalah langsung dan buat seolah-olah tidak ada apa-apa selepas diberitahu tentang bil.
“Pelanggan yang telah menunggu lama, apabila dapat makanan terus makan. Nak cari kedai lain pun ambil masa. Untuk para peniaga, tolong jaga kebersihan kerana itu sangat penting,” katanya.
Bunga menambah bahawa kejadian tersebut adalah pengalaman pertama beliau berdepan dengan insiden yang menjijikkan, dan dia masih berasa fobia hingga kini.
“Sampai hari ini, setiap kali lihat daging kicap atau makanan berwarna hitam, pasti terbayang kejadian itu. Saya rasa sedikit fobia sebab terkejut gila. Saya tidak boleh terima lipas ada dalam telur. Bentuknya pun elok lagi.
“Untuk peniaga tersebut, saya mohon maaf jika apa yang saya kongsikan ini menggugat bisnes anda. Namun, lepas ini tolong jaga kebersihan,” tambahnya.
BACA: ‘Asben sy hidup lagi naaa..’ Cikgu bengang scammer jandakan dirinya dalam group cari jodoh