Kementerian Kewangan mendedahkan tiga faktor tidak dijangka yang menyebabkan kegagalan syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet (FV),
sehingga pelaburan yang disuntik oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengalami kerugian.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan bahawa salah satu faktor utama
adalah kesan *COVID-19* yang menghalang operasi perniagaan fizikal FashionValet
Dan menyebabkan penurunan ketara dalam permintaan untuk pakaian premium, termasuk tudung.
“Ketika FashionValet berusaha untuk mencapai aspirasi menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran, mereka telah menambah bilangan kedai fizikal secara pesat.
Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 telah menghalang operasi kedai fizikal, menyebabkan pasaran pakaian premium, termasuk tudung, merosot dengan ketara.
Malah, beberapa kedai fizikal yang tidak mendapat sambutan terpaksa ditutup,” katanya ketika menjawab soalan asal Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Faktor kedua yang menyumbang kepada kegagalan FashionValet adalah perubahan trend dalam platform e-dagang fesyen.
Munculnya jenama fesyen tempatan, terutamanya yang berfokus kepada fesyen sopan, yang lebih menggunakan saluran jualan mereka sendiri dan platform alternatif seperti Facebook, telah memberikan persaingan sengit kepada FashionValet.
“Oleh itu, FashionValet terpaksa menutup platform mereka dan beralih fokus kepada jenama mereka sendiri iaitu dUCk dan LILIT,” tambahnya.
Faktor ketiga adalah cabaran dalam pengumpulan dana. Kesemua cabaran ini menyebabkan kekangan aliran tunai yang serius kepada FashionValet.
Walaupun syarikat berusaha mencari dana baru untuk mengatasi masalah ini, pemegang saham utama, termasuk Khazanah dan PNB, tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan meningkatkan pelaburan mereka dalam syarikat itu.
“Pasaran pengumpulan dana yang mencabar pada waktu itu menyebabkan usaha pengumpulan dana oleh FashionValet tidak berjaya,” jelas Amir Hamzah.
Meskipun Khazanah dan PNB adalah pelabur minoriti dalam syarikat tersebut, kedua-dua pihak telah memainkan peranan yang aktif dengan memberikan bimbingan strategi dan nasihat kewangan kepada pengurusan tertinggi FashionValet.
“Namun, impak daripada cabaran-cabaran yang dihadapi terlalu besar dan menyebabkan keadaan kewangan syarikat semakin parah. Untuk terus beroperasi dan mengatasi masalah aliran tunai, FashionValet memerlukan suntikan modal segera dari pelabur baru. Malangnya, mereka tidak menerima banyak tawaran dari pelabur baru,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa Khazanah dan PNB mengakui bahawa hasil pelaburan mereka dalam FashionValet tidak selaras dengan unjuran pulangan yang dijangkakan. Namun, kerajaan akan terus memberi perhatian bagi memastikan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus diperkukuhkan.
“Dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes ini dan audit dalaman yang masih berjalan, Khazanah dan PNB perlu diberi ruang untuk menyelesaikan proses siasatan ini. Dapatan yang dimuktamadkan nanti akan digunakan untuk menambah baik tatakelola dan tadbir urus kedua-dua GLIC ini,” katanya.
Mengenai pertimbangan pelaburan dalam FashionValet, beliau berkata bahawa pada 2017, ketika Khazanah dan PNB menilai syarikat tersebut, FashionValet adalah sebuah platform e-dagang yang memiliki lebih 400 jenama dan 15,000 produk, dengan hasil perniagaan hampir RM60 juta dan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan melebihi 100 peratus sejak 2013.
“Pelaburan oleh Khazanah dan PNB dilakukan setelah melalui proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar oleh pihak masing-masing. Nilai pasaran ketika itu mencerminkan trajektori pertumbuhan yang kukuh untuk FashionValet,” jelasnya.
Suntikan pelaburan tersebut digunakan untuk mengembangkan platform FashionValet agar menjadi platform e-dagang serantau bagi jenama tempatan, termasuk menambah bilangan kedai fizikal bagi menyokong aspirasi syarikat untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran.
“FashionValet mencatatkan pulangan tunai positif selama beberapa tahun selepas menerima pelaburan daripada Khazanah dan PNB.
Walau bagaimanapun, Khazanah dan PNB sedia maklum akan cabaran-cabaran yang dihadapi FashionValet dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
BACA: ‘Rupanya ini yang abang buat sampai abah menangis, pertama kali abah angkat tangan’