Vivy dan suami tak mengaku pecah amanah dana pelaburan RM8 juta

Oleh SURIANI HAMDAN

Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof, bersama suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini

atas tuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, enam tahun lalu.

Vivy, atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham, mengaku tidak bersalah,” ujar Vivy yang hadir ke mahkamah dengan berpakaian serba putih, manakala Fadzarudin mengenakan kot hitam.

Pertuduhan Pecah Amanah

Vivy dan suami tak mengaku pecah amanah dana pelaburan RM8 juta

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd, dengan niat bersama telah melakukan pecah amanah jenayah. Pasangan ini didakwa memindahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB sebanyak RM8 juta dari akaun syarikat ke akaun syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FashionValet.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Public Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pada 21 Ogos 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat, serta denda jika sabit kesalahan.

Jaminan dan Syarat Tambahan

Hakim Rosli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin. Mereka juga dikenakan syarat tambahan untuk melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan dilarang mengganggu atau mempengaruhi saksi kes ini.

Mahkamah menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dan Pembelaan

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, menjelaskan bahawa kesalahan ini serius dan tertuduh berpotensi melarikan diri. Namun, memandangkan mereka telah memberikan kerjasama baik kepada SPRM, jaminan sebanyak RM100,000 hingga RM200,000 seorang dianggap munasabah.

“Kami juga memohon tertuduh menyerahkan pasport dan menghalang mereka daripada mengganggu saksi, kerana kebanyakan saksi adalah individu yang terlibat dalam FashionValet,” katanya.

Kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Ashok Athimulan.

Latar Belakang Isu

Pada Oktober lalu, Kementerian Kewangan (MoF) mendedahkan bahawa Khazanah dan PNB hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera NXBT Partners pada 2023. Ini berbanding pelaburan awal berjumlah RM47 juta oleh kedua-dua entiti tersebut pada 2018, masing-masing RM27 juta oleh Khazanah dan RM20 juta oleh PNB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan bahawa pihaknya mengesan beberapa transaksi mencurigakan dari tahun 2018 hingga tahun lalu yang berkaitan dengan kerugian pelaburan FashionValet.

SPRM turut menyerbu premis FashionValet, Kementerian Kewangan, Khazanah, dan PNB secara serentak untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Permohonan Maaf Susulan Kontroversi

Vivy dan Fadzarudin sebelum ini telah memohon maaf atas kontroversi yang menjejaskan imej PNB dan Khazanah. I

su ini turut menjadi perhatian hangat di media sosial, dengan pelbagai pihak menggesa tindakan tegas bagi memastikan tiada unsur penyelewengan atau salah guna kuasa.

BACA: Sering dilihat bersama kerabat diraja, ini latar belakang Aminul Islam jadi buruan kerajaan Bangladesh