Vaksin Covid-19 perlu disuntik kepada rakyat Malaysia dahulu sebelum pekerja asing – MTUC

Vaksin Covid-19 perlu disuntik kepada rakyat Malaysia dahulu sebelum pekerja asing – MTUC

Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengutamakan pengagihan bekalan vaksin Covid-19 kepada 26.5 juta rakyat tempatan berbanding jutaan warga asing yang berada di Malaysia pada masa ini.

Berdasarkan rekod Statistik Tenaga Buruh (STB) bagi tahun 2019, jumlah pekerja asing bukan warganegara lebih 2.3 juta orang, belum dikira warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan menyediakan bekalan vaksin percuma kepada warga asing bagi membendung sepenuhnya penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berharap kebajikan rakyat tempatan tidak dianaktirikan hanya disebabkan golongan bukan warganegara terutama pekerja asing amat diperlukan bagi mengukuhkan sektor ekonomi.

“Kita tidak nafikan keperluan vaksin Covid-19 diedarkan secara percuma kepada warga asing terutama mereka yang bekerja di sektor kritikal seperti perkilangan dan pembinaan.

“Tambahan pula, kebanyakan kluster penularan Covid-19 yang wujud di negara ini adalah berpunca daripada golongan pekerja asing yang baru memasuki negara ini.

“Bagaimanapun, MTUC memohon kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat tempatan dengan memastikan mereka menerima bekalan itu terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAVMY) memaklumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan melibatkan pemberian secara percuma kepada semua golongan bukan warganegara Malaysia yang menetap di negara ini.

Selain itu, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (Mosti), Khairy Jamaluddin menegaskan Kabinet secara prinsipal bersetuju memberikan vaksin percuma kepada warga asing di negara ini termasuk yang tidak mempunyai dokumen sah.

Bagaimanapun, pandangan berbeza diutarakan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan.

Beliau menegaskan pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat tempatan dan warga asing terutama pekerja sektor perkilangan serta pembinaan, wajar diselaras dan diberikan serentak.

Menurutnya, golongan pekerja asing adalah kelompok berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan kewujudan kluster baharu pandemik itu akan terus tercetus sekiranya mereka diletakkan pada fasa terakhir pemberian vaksin.

“Sebanyak 60 peratus daripada kluster baharu penularan Covid-19 datangnya daripada tempat kerja dan sebahagian besarnya berpunca daripada pekerja asing di mana status jangkitan mereka hanya diketahui sewaktu berada di tempat kerja.

“Memandangkan cara hidup pekerja asing tidak teratur selain faedah perubatan terhad, mereka lebih berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 berbanding rakyat tempatan.

“Justeru, lebih cepat kelompok pekerja asing ini diberikan vaksin, hasilnya akan lebih baik,” katanya.

Beliau juga yakin golongan majikan akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan lebih 2.3 juta pekerja asing di bawah seliaan mereka menerima suntikan vaksin Covid-19 bila tiba waktunya.

“MEF juga percaya kerajaan akan mewujudkan satu kaedah khas untuk mengenal pasti warga dan pekerja asing yang sudah menerima vaksin Covid-19 seperti pemberian kad istimewa kepada golongan itu bagi memudahkan pergerakan mereka,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123639/BERITA/Nasional/Suntik-rakyat-Malaysia-dulu-baru-pekerja-asing-MTUC