Ustaz Wadi kongsi amalan mudah untuk dikurniakan rezeki melimpah ruah

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar, segelintir anak-anak tidak mendahulukan ibu bapa mereka dalam soal kewangan.

Bagi mereka yang beragama Islam, setiap rezeki yang diperoleh datang daripada Allah SWT.

Namun begitu, ada sebahagian masyarakat yang merasakan hidup mereka sempit, bukan hanya dari segi kewangan

tetapi juga dengan pelbagai cabaran seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan, dan sebagainya.

Ustaz Wadi kongsi 2 amalan mudah untuk dikurniakan rezeki melimpah ruah

Jika anda berada dalam situasi seperti ini, jangan berputus asa. Percayalah kepada ketentuan Allah Yang Maha Esa.

Baru-baru ini, satu hantaran di TikTok (@anasrazali77) tular yang menunjukkan sedutan podcast ‘Apa Cerita?’ bersama Ustaz Wadi Annuar sebagai tetamu jemputan.

Dalam video tersebut, Ustaz Wadi berkongsi dua amalan utama yang boleh dilakukan untuk memperoleh rezeki yang melimpah.

Amalan pertama ialah berbelanja dan memberi kekayaan kepada ibu bapa.

“Insya-Allah, kamu mesti kaya. Tapi berapa ramai yang dahulukan mak ayah? Tak ramai. Ramai tinggalkan, padahal mereka yang pegang kunci rezeki.

Anak bila tengok mak dan ayah ada duit, mula tak berikan (wang),” jelas Ustaz Wadi.
Doa Sebagai Sedekah

Ustaz Wadi juga menambah, adalah wajar untuk seorang anak bersedekah kepada ibu bapa walaupun mereka sudah kaya. Sedekah bukan sahaja dalam bentuk wang, tetapi juga doa.

“Doa untuk kebaikan ibu bapa, Allah akan mudahkan hidup kita. Rezeki bukan hanya dalam bentuk wang dan kesihatan tetapi juga ketenangan hati. Itu rezeki yang lebih besar daripada wang. Banyakkan berdoa dan berbaktilah,” tambah beliau.

Antara doa untuk ibu bapa yang boleh diamalkan adalah:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.”

Istighfar untuk Rezeki yang Luas

Amalan kedua yang dikongsi Ustaz Wadi adalah melazimi istighfar. Ramai yang tahu bahawa istighfar dapat menghapuskan dosa, tetapi ia juga mendatangkan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Daripada Ibn Abbas RA, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, Allah akan memberinya jalan keluar dari setiap kesempitan, kelapangan dari setiap kebimbangan, dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

Reaksi Positif Netizen

Dalam ruangan komen video tersebut, ada seorang ibu yang berkongsi rasa kecewanya apabila anak-anaknya semakin menjauh.

“Betul, ustaz. Sedih sangat. Jauh dan semakin jauh. Sampai terasa tak ada anak,” katanya.

Ramai juga bersetuju bahawa pemberian wang dari anak kepada ibu bapa mempunyai nilai tersendiri.

“Walaupun mak ayah dah kaya, bila dapat duit dari seorang anak, nilainya lain. Mulut je (kata) tak nak, tapi bila terima perasaannya lain sangat. Berilah walaupun mak ayah berduit,” kata seorang individu.

Seorang lagi pengguna TikTok berkongsi keyakinan bahawa kebaikan yang diberikan kepada ibunya sekarang akan membuahkan manfaat pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, walaupun aku hanya cukup makan, tapi bagi mak dulu. Allah gantikan dengan lebih lagi. Percayalah,” katanya.

Baca Juga:Selain Teluk Kemang, ini 21 pantai cantik yang tersembunyi di Port Dickson ramai tak tahu