Kisah Nasi Lemak Bangsudu pernah menjadi viral pada satu ketika dahulu, khususnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Seorang pemuda tanpa rasa malu menjual nasi lemak bungkus pada harga RM1 dari belakang keretanya.
Pada mulanya, dia hanya menjual sekitar 50 bungkus sehari dengan harapan jualannya akan laku.
Namun, tanpa diduga, kisahnya tular di TikTok dan jualannya meningkat sehingga melebihi 1000 bungkus setiap hari.
Selepas kisahnya viral, ramai yang mencadangkan agar Bangsudu menaikkan harga jualannya memandangkan harga barang semakin naik.
Namun, menyedari bahawa kebanyakan pelanggannya adalah pelajar sekolah, Bangsudu tidak sampai hati untuk membebankan mereka.
Situasi ini membuka satu lagi aspek kebaikan dalam masyarakat Malaysia, di mana pelanggan ‘sengaja’ membayar lebih untuk membantu pembeli seterusnya.
Terdapat juga momen-momen lucu di mana Bangsudu terpaksa mengejar pelanggan yang membayar lebih atau berkeras untuk membuat pembayaran walaupun telah dilarang.
Siapa sangka, dahulu menjual nasi lemak dari belakang kereta, kini Bangsudu telah membuka restoran yang dinamakan Restoran Bangsudu.