Chef selebriti terkenal, Chef Wan, menarik perhatian ramai apabila menyediakan beberapa buah katil istimewa untuk kucing-kucing peliharaannya.
Menerusi beberapa posting di Instagram, Chef Wan berkongsi kisah tentang katil dan tilam baru yang disediakan khas untuk si bulus kesayangannya.
“Cinnamon sedang memeriksa katil baru yang ada nama sendiri di tilam!
Saya rasa saya semakin gila manjakan malaikat-malaikat kecil saya dengan katil mereka sendiri.
Sekarang bilik itu macam mini hostel! Nasib baik tak ada katil double decker.
Biasanya beberapa ekor tidur di atas katil single yang saya beli dulu untuk arwah ibu saya, di ruang televisyen, untuk tidur sekejap, bukannya di sofa,” tulisnya.
Chef Wan turut mengenang kisah lama apabila ibunya tidak mahu menggunakan katil tersebut.
“Apabila katil itu sampai, ibu saya tak suka. Walaupun saya pujuk berkali-kali, dia tetap tak mahu tidur di situ. Akhirnya, daripada ruang televisyen kelihatan berselerak, saya putuskan untuk bagi kepada kucing-kucing itu.
Datin Kiah, Cardamon, dan Cloves suka tidur di atas katil itu, manakala Tamarind dan Tumeric lebih suka katil bayi. Entah bagaimana, mereka semua ada tempat tidur kegemaran masing-masing,” katanya.
Chef Wan juga berterima kasih kepada jenama Getha yang menghadiahkan banyak bantal selepas pembelian tilam untuk kegunaan kucing-kucingnya.
“Sekarang, saya dah buang beberapa bakul lama mereka yang berserabut dan gantikan dengan katil dan tilam. Lama-lama nanti mereka pasti seronok bermalas-malasan di atasnya.
Terima kasih, Getha, atas hadiah bantal tambahan. Alhamdulillah, saya boleh bawa bantal-bantal itu ke rumah kampung di Sg Koyan, Raub, bila kerja ubah suai siap. Keluarga saya boleh guna bila datang melawat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Chef Wan turut berkongsi rancangannya melengkapkan rumah kampungnya dengan perabot dan peralatan dapur baru.
“Selepas semua kerja ubah suai rumah, pening juga kepala nak cari bajet untuk perabotkan rumah pula.
Syukur, beberapa bulan lalu saya dah asingkan bajet untuk semua peralatan dapur, dari dapur gas, peti sejuk, microwave, penggoreng dalam hingga flat top melalui Bofi.
Cantik reka bentuk dapur yang saya pilih – simple, berkualiti, dan sesuai dengan konsep rumah baru ini,” ujarnya penuh teruja.
Kisah Chef Wan ini nyata mencuri hati netizen yang memuji kasih sayangnya terhadap haiwan peliharaan serta dedikasinya dalam menghias rumah baru.
BACA: “Orang luar tak perlu sibuk”… Awie ulas kenyataan mahu Wings kembali bersatu