Umno sedang main ‘kayu tiga’ dengan Muhyiddin

Umno sedang main ‘kayu tiga’ dengan Muhyiddin

Walaupun hayat Belanjawan 2021 selamat daripada digagalkan pembangkang dalam undian terakhirnya pada 15 Dis lalu, suhu politik dalam negara dijangka akan terus ‘menggelegak’ dengan pelbagai percaturan lanjut.

Bekas penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin, berkata penyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin melihat kejayaan belanjawan itu diterima adalah petanda bahawa kerajaan Perikatan Nasional sekarang kuat.

Pada masa sama katanya penyokong Anwar pula tetap yakin bahawa undian belanjawan itu tidak sama dengan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin.

Bagi Umno pula kata bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, sesetengah pemimpin mereka akan terus berusaha mendapatkan apa yang terbaik dengan “bermain kayu tiga” di antara Muhyiddin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim

“Di pihak lain pula, sesetengah pemimpin Umno – khususnya yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah – akan terus bermain kayu tiga dengan Muhyiddin dan Anwar bagi mendapat ‘the best deal’ berkaitan kes-kes mereka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Menurut A Kadir keutamaan Umno sekarang ialah mahu kembali berkuasa melalui pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti. Untuk itu katanya Umno mesti membendung pengaruh Bersatu dan PAS dengan cara berbaik-baik dengan mereka tetapi pada masa yang sama mensabotaj parti terbabit.

“Matlamat sepadu Umno ialah menguburkan Bersatu dan menyekat PAS. Dengan Muhyiddin, Umno sudah tahu kekuatan dan kelemahannya serta apa lagi yang boleh diperas ugut.

“Dengan Anwar belum tahu,” katanya lagi.

Sekat Bersatu dari dalam

Pun begitu, katanya Umno kekal berdepan dengan suasana suram selagi parti itu terus bergantung kepada pemimpin sekarang ketika mereka dianggap sebagai kleptokrat.

Katanya ia mendorong pihak tertentu dalam Umno untuk mendorong timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan, untuk mengambil alih pucuk pimpinan.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan PN dilihat menjadi peluang kepada pembangkang menyekat Muhyiddin dan kerajaannya selepas mereka berpakat menjatuhkan PH pada Feb lalu.

Pada masa sama Anwar mengumumkan dia memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru menggantikan PN. Bagaimanapun ia tidak dapat dibuktikan setakat ini dan belanjawan pula diluluskan di Dewan Rakyat walaupun dengan kelebihan tiga undi saja.

Undian itu juga sekali lagi menunjukkan tahap sokongan yang diterima Muhyiddin memang tipis dan kerajaan PN akan terus dilihat tidak utuh.

Kata A Kadir keadaan itu memang digemari pesaing PN khususnya Umno.

“Ia (Umno) adalah yang di hadapan sekali dalam mengeksploitasi kelemahan kerajaan PN.

“Sambil meraih faedah melalui penyertaan dalam kerajaan, Umno sedang berusaha menyekat kemaraan PN dan Bersatu dari dalam. Mereka menjadikan PN kuda tunggangan,” katanya.

Di pihak Bersatu pula, kata A Kadir, Muhyddin kekal menjadi ‘kambing korban’ yang menunggu masa untuk ‘disembelih’.

“Atau dia sendiri sedang berkomplot untuk merampas Umno dan kembali sebagai bos nombor satu parti itu,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/555703

COMMENTS