UMNO mula tunjuk perangai ‘abang besar’, kata pemimpin Bersatu

UMNO mula tunjuk perangai ‘abang besar’, kata pemimpin Bersatu

Dua hari lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, rata-rata ahli Bersatu yang dihubungi Malaysiakini menyifatkan tindakan pembubaran Dewan Rakyat buat ketika ini tidak wajar dan hanya menguntungkan Umno.

Exco Pendidikan Pemuda Bersatu (Armada) Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, menjelaskan bahawa cadangan itu menunjukkan Umno kini sudah mula menunjukkan sifat ‘abang besar’.

“Lazim tingkah Umno yang sesetengahnya kini nak menangguk di air keruh dengan menunjukkan sifat abang besarnya, ditambah tidak tahan dengan prestasi baik Muhyiddin Yassin yang mampu menenggelamkan imej Umno,” katanya.

Mohd Ashraf turut berpendapat bahawa Umno membuat gesaan tersebut kerana berasa mempunyai sokongan yang cukup untuk memenangi PRU15.

“Pembubaran parlimen bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian, Umno mencadangkan sedemikian adalah kerana merasakan kemungkinan sokongan yang meningkat terhadap mereka dan mahu mengambil kesempatan.

“Namun mereka perlu sedar bahawa Umno hanya sekadar menumpang populariti Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri,” katanya lagi.

Peluang besar untuk Umno

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar , yang senada dengan Mohd Ashraf, juga menyifatkan bahawa pembubaran Dewan Rakyat hanya akan memberi manfaat kepada Umno.

Jelasnya, meskipun pembubaran parlimen antara satu cara yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan kemelut politik, namun Syed Hamid menyifatkan bahawa belum sampai masa untuk membuat gesaan tersebut melihat kepada situasi negara yang sedang berdepan isu Covid-19.

Syed Hamid Albar.
“Pemimpin Umno yang memimpin kerajaan dan juga ahli BN bukan pegang jawatan kementerian dah gesa untuk bubar parlimen.

“[…] Parlimen mungkin boleh bubar, untuk selesaikan situasi politik, tetapi dengan keadaan Covid-19 (di) negara sekarang, rasa belum sampai masa. (Pembubaran parlimen) juga hanya akan beri peluang besar kepada Umno sahaja,” katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berbincang secara terbuka sesama gabungan parti berkenaan isu pembubaran parlimen supaya ia tidak memberi kesan lebih buruk kepada politik negara.

Untuk rekod, bukan hanya Mohamad, gesaan PRU15 juga disuarakan oleh beberapa barisan pemimpin tertinggi dari Umno dan Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut memberi isyarat partinya telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15 di tengah-tengah keadaan politik negara yang tidak stabil.

Malah, ia juga disokong oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Gesaan itu hadir di saat kemelut peringkat persekutuan yang masih berterusan, dengan Pakatan Harapan (PH), kem Dr Mahathir Mohamad dan Warisan mendakwa memiliki majoriti untuk merebut kembali kuasa daripada Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Redzuan Md Yusof turut menyifatkan bahawa menguruskan pentadbiran kerajaan PN adalah lebih wajar dari berfikir soal pembubaran parlimen ketika ini.

“Perkemaskan pentadbiran kerajaan lagi wajar dilakukan buat kerajaan PN kini dari pembubaran Parlimen,” katanya yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Malah, perkara itu juga disokong oleh Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Pembubaran (Dewan Rakyat) buat masa sekarang tidak perlu kerana pentadbiran kerajaan perlu utamakan masalah kerajaan dan negara,” katanya.

Untuk rekod pada Februari lalu, Mahathir meletak jawatan selaku perdana menteri ketujuh susulan ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

Pada 1 Mac, Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri Malaysia kelapan dengan membentuk kerajaan PN bersama BN, PAS, bekas wakil rakyat PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali dan GPS bagi membentuk kerajaan baru menggantikan PH.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/532035

COMMENTS