Selepas menerima aduan mengenai kes keracunan makanan yang melibatkan ramai pelajar, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA),
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, telah melakukan lawatan mengejut ke Dewan Selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping, Perak pada Khamis.
Asyraf berkata, lawatan tersebut dilakukan untuk menilai keadaan sebenar di lokasi selepas menerima laporan secara langsung daripada ibu bapa pelajar mengenai insiden keracunan makanan.
“Saya menerima laporan terus daripada ibu bapa pelajar mengenai kes keracunan makanan yang melibatkan seramai 31 orang pelajar
pada 30 Ogos, sehingga ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambahnya lagi, semasa lawatan tersebut, didapati beberapa aspek tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh MARA. Antaranya, kekurangan pekerja, tidak mengikut menu harian yang ditetapkan, serta tahap kebersihan dapur yang tidak memuaskan.
“Dalam menu yang ditetapkan oleh MARA, menu makan malam ialah ikan tenggiri. Ini ke ikan tenggiri?” katanya sambil menunjukkan ikan yang dihidangkan kepada pelajar.
Lebih mengejutkan, Asyraf berkata kes keracunan yang dilaporkan bukanlah kali pertama berlaku.
“Ketika berjumpa dengan pelajar-pelajar yang menjadi mangsa keracunan makanan ini, mereka memaklumkan bahawa tahun lepas juga seramai 50 orang terkesan dengan isu keracunan makanan ini pada Oktober lepas.
“Mereka juga berkongsi gambar ulat dalam nasi, sayur, dan serangga dalam hidangan yang amat mendukacitakan saya,” katanya.
Asyraf berkata, pengusaha dewan makan diberi tempoh sehingga Jumaat untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan atau tindakan lanjut akan diambil.
Tegasnya, beliau tidak akan berkompromi dan akan bersikap tegas terhadap perkara yang melibatkan kesihatan pelajar.
“Selagi saya menjadi Pengerusi MARA, saya akan pastikan isu-isu ini diberi perhatian oleh pegawai-pegawai MARA demi kebajikan dan keselesaan anak-anak MRSM.
“Kesihatan, keselesaan, dan kebajikan anak-anak MRSM adalah perkara yang amat saya titikberatkan dan tiada kompromi dalam hal ini,” katanya.
Dalam video terkini yang dimuat naik oleh Asyraf, kontraktor terbabit juga dilihat cuba mempertahankan diri serta mempersoalkan semula semua isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi MARA.
Video tersebut turut memaparkan keadaan dewan selera yang tidak terurus dan kotor, dengan beberapa tikus berkeliaran, yang didakwa berpunca daripada kekurangan staf.
BACA: Ira Kazar didakwa langgar taklik, UAI jelaskan apakah maksud cerai taklik ramai tak tahu