Bakal jemaah haji dinasihatkan agar menilai kemampuan diri sendiri dan mempertimbangkan kenaikan kos sebelum membuat keputusan untuk menunaikan ibadah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata
syarat utama untuk menunaikan haji adalah kemampuan dan ia tidak seharusnya membebankan diri.
“Kita perlu faham bahawa menunaikan ibadah haji adalah suatu perkara yang tidak memaksa, dan Allah SWT tidak akan memaksa jika kita tidak mampu.
Jangan sampai kita terpaksa bergolok-bergadai dan menghabiskan simpanan hanya untuk menunaikan ibadah ini,”
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jualan Bergerak Bantu Rakyat di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan media yang menyebut kemungkinan peningkatan kos ibadah haji, yang kembali dibincangkan selepas musim haji tahun ini berakhir.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar, sebelum ini memberitahu bahawa TH dijangka akan membincangkan isu kenaikan kos haji dengan kerajaan bagi musim depan.