Media sosial baru-baru ini kecoh apabila klip berdurasi 10 saat yang menunjukkan
seorang wanita asing beraksi tidak senonoh di hadapan Maybank Kota Kinabalu mula tersebar luas di WhatsApp.
Wanita itu dirakam mengangkat bajunya sambil membuat aksi tidak sopan di hadapan Maybank kota Kinabalu yang kini menjadi kawasan tumpuan ramai.
Difahamkan bahawa klip tersebut telah tular di media platform China, Xiaohongshu sebelum tular di Malaysia.
Untuk rekod, Maybank Kota Kinabalu telah menjadi lokasi tarikan pelancong dari China yang sering berkongsi gambar mereka di lokasi tersebut.
Menurut Malay Mail, Ketua Polis Kota Kinabalu, Penolong Pesuruhjaya Kasim Muda telah mengesahkan bahawa satu siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti wanita yang berkelakuan tidak sopan tersebut.
Pihak polis juga difahamkan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat latar belakang video dan individu yang memuat naiknya.
Kes ini sedang diklasifikasikan sebagai perbuatan lucah di tempat awam.
Sekiranya didapati bersalah, wanita berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Ramai netizen berpendapat bahawa wanita dalam video tersebut adalah seorang pelancong, berdasarkan video yang tular di media sosial China, Xiaohongshu.
Sekiranya siasatan mendapati bahawa individu tersebut adalah warga asing, dia mungkin berdepan larangan masuk atau keluar dari Malaysia.
Walaupun masa sebenar video tersebut dirakam tidak diketahui, pihak berkuasa mengesahkan bahawa ia dirakam pada waktu malam.
BACA: Akhirnya terjawab kenapa minyak paket kurang dalam pasaran