Tular video tentera Rusia berundur dari Syria, Proton Persona pula jadi perhatian netizen

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Proton Persona menjadi perhatian netizen Malaysia setelah muncul dalam video yang menunjukkan konflik di Syria.

Dalam rakaman yang dimuat naik oleh akaun X Clash Report, sekumpulan pejuang Syria

Dilihat memberi isyarat jari tengah kepada konvoi tentera Rusia yang sedang berundur.

Namun, yang mencuri tumpuan netizen Malaysia adalah kemunculan Proton Persona dalam video tersebut.

Reaksi netizen di ruangan komen platform X pun tidak kurang hebatnya, dengan pelbagai reaksi terkejut, terhibur, dan rasa bangga.

Tular video tentera Rusia berundur dari Syria, Proton Persona pula jadi perhatian netizen

Video itu juga memulakan perbincangan mengenai ketahanan kereta buatan Malaysia, yang dilihat masih elok dan berkilat walaupun berada di tengah-tengah kawasan konflik.

Netizen turut berjenaka, “Bersih betul macam kereta baru.”

Walaupun kehadiran Proton Persona di lokasi tersebut mungkin kebetulan, kemunculannya di kawasan konflik menimbulkan pelbagai persoalan. Bagaimana kereta buatan Malaysia ini boleh berada di Syria?

Adakah ia kereta terpakai yang diimport, atau adakah ia satu lagi bukti ketahanan Proton yang mampu menembusi sempadan negara?

Untuk rekod, Proton sudah lama menembusi pasaran antarabangsa seperti Timur Tengah dan Asia Barat. Kereta buatan Malaysia, termasuk Proton Persona dan Gen-2, telah dieksport ke negara-negara ini sejak tahun 2000 lagi. Jadi, tidaklah menghairankan jika ada Proton yang boleh dilihat di jalan raya Syria.

Sebelum ini, The Guardian melaporkan bahawa Bashar al-Assad dan keluarganya melarikan diri dari Syria ke Moscow menggunakan jet peribadi.

Rusia kini memberi suaka politik kepada bekas presiden itu, yang meninggalkan tenteranya tanpa arahan. Jalan utama yang menghubungkan Beirut dan Damsyik dipenuhi tentera, sebagai tanda bahawa pihak tentera telah menyerah kalah.

Keputusan Assad untuk melarikan diri menandakan kejatuhan rejim yang telah mencetuskan perang saudara paling lama pada abad ke-21.

Perang yang bermula pada 2011 itu telah meragut lebih 300,000 nyawa, menyebabkan 100,000 orang hilang, dan memaksa lebih 12 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, dengan 5.4 juta daripadanya mencari perlindungan di luar negara.

BACA: Perawat dedah pulihkan peminat pakaian terpakai kena gangguan “Tak sangka baju bundle pun ‘keras’!