Seorang lelaki bertindak mendedahkan penghinaan yang dilakukan oleh peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan di Bukit Bintang.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai, ‘NT’, adalah pemilik sebuah premis makanan Vietnam, didakwa telah menghina bangsa, agama dan budaya masyarakat di negara ini.
Selain itu, ‘NT’ turut memperlekehkan pekerjaan dan sumber pendapatan yang diperoleh oleh pekerja e-hailer (penghantar makanan).
Menurut pengadu, Ahmad Zul berkata, insiden itu tercetus ketika dia bertanyakan tentang status halal makanan di kedai tersebut, semasa menghubungi ‘NT’ melalui Facebook.
Malangnya, jawapan yang diterima sangat mengejutkan di mana ‘NT’ mempersoalkan tindakan Ahmad Zul yang menyoal tentang status halal di premisnya.
“Kenapa sibuk nak tanya tentang status halal bila saya sebagai owner dah beritahu makanan saya tak ada mengandungi daging khinzir. Bukannya saya masukkan daging khinzir ke dalam mulut orang muslim.
“Kalau awak nak makan daging khinzir, dengan senang hati saya boleh bagi. Makanan yang ada daging khinzir lebih bagus dari makanan halal sebab awak tak pernah makan daging khinzir sepanjang hidup awak, betul?” katanya.
‘NT’ turut mendakwa dia melihat ada ramai orang muslim makan di kedai yang tidak mempunyai sijil halal dan ramai makan daging khinzir secara bersembunyi. Malah ‘NT’ mengakui dia selalu memberi rakannya beragama Islam makanan berunsurkan daging khinzir.
Kata-kata ‘NT’ itu mengundang kemarahan Ahmad Zul yang menganggap warga asing itu biadab kerana bukan sahaja mempersendakan tentang status halal, tetapi juga memperlekehkan agama Islam.
‘NT’ menegaskan Ahmad Zul tidak perlu menyibuk tentang perkara itu dan mengakui dia adalah warga asing namun menetap di negara ini secara sah kerana dia mempunyai dependant pass, serta mempunyai hak untuk bersuara.
Dependant Pass adalah kebenaran yang diberikan kepada pemegang Employment Pass atau Student Pass untuk membawa anggota keluarga mereka menetap di Malaysia. Pemegang Dependant Pass tidak dibenarkan untuk bekerja dan berniaga di Malaysia.
Sedar perbuatannya itu menyalahi undang-undang, Ahmad Zul mempersoalkan bagaimana ‘NT’ boleh mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan. Namun soalan itu hanya mengundang gelak ketawa warga asing terbabit.
“Siapa awak nak menyoal siasat saya seperti ini? Tiada sesiapa pun yang berhak untuk menyiasat kami warga asing, walaupun seseorang itu adalah orang penting seperti Raja Malaysia.
“Ini adalah negara bebas, kami ada hak kebebasan untuk hidup dan berniaga di sini tanpa sebarang masalah. Warga asing juga menyumbang kepada pembangunan di Kuala Lumpur. Tanpa warga asing, Malaysia akan jadi sebagai Kemboja.
“Majoriti rakyat Malaysia punyai mentaliti rendah, yang menjelaskan kenapa Singapura tidak mahu menjadi sebahagian daripada Malaysia.
“Pihak berkuasa juga tak akan ambil tindakan. Siapa awak nak mempersoalkan? Orang awam tiada kuasa melebihi pihak berkuasa,” katanya.