Tular di platform X, bekas pekerja 99 Speedmart telah berkongsi pengalaman mereka bekerja di 99 Speedmart yang mana pengasasnya telah menjadi jutawan.
Antara aduan yang dibangkitkan dalam ciapan tersebut adalah mengenai gaji yang rendah, waktu kerja yang panjang, dan faedah yang hampir tidak wujud.
“So berapa gaji minimum yang dibayar kepada pekerja kedai? RM3,000? RM4,000? Seminggu kerja 5 hari? 6 hari? Ada annual dinner?
Ada bonus? Ada company trip? Ada union? Tak guna jadi billionaire kalau tak mampu beri semua ini kepada pekerja.
Done sembang benefit pekerja,” kata salah seorang pengguna X yang mengungkit isu ini selepas pengasas jenama tersebut mendapat status jutawan.
Dalam ciapan balas, seorang individu menyatakan kekecewaannya terhadap faedah yang disediakan kepada pekerja. Walaupun memegang jawatan sebagai pengurus cawangan atau pembantu pengurus, gajinya kurang daripada RM2,800.
Dia juga menyebut tiadanya syif tetap dan cuti rehat, menjadikannya sukar untuk mengimbangkan antara kerja dan kehidupan peribadi. Tambahan pula, pemotongan untuk kerja lebih masa (OT) dan pembayaran untuk kerugian produk menjadikan situasi lebih buruk.
“Benefit? Kahkahhh. Jangan sembang pasal benefit kalau 99 Speedmart, lebih banyak kerugian mat… Gaji?
<RM2800,” katanya dalam ciapan yang kini tular dengan lebih 78,000 tontonan.
Seorang lagi pengguna menyatakan masalah yang serupa, bukan sahaja di 99 Speedmart, malah juga melibatkan syarikat lain seperti 7-Eleven, MyNews, KFC, dan McDonald’s. Ramai pekerja berkongsi pengalaman mereka bekerja lebih dari 12 jam sehari.
Mereka mendedahkan bahawa pekerja kedai runcit, termasuk di 99 Speedmart, terpaksa bekerja dari pukul 8 pagi hingga 10 malam tanpa diberi bayaran OT yang sewajarnya. Seorang pengguna media sosial yang pernah bekerja sebagai Pembantu Pengurus Cawangan turut mendedahkan situasi pekerja di syarikat tersebut.
Menurutnya, tiada OT, tiada elaun petrol, malah mereka terpaksa membuat deposit duit jualan ke bank dua kali sehari.
“Setiap hari kena deposit duit jualan sama ada satu atau dua kali sehari, bank 20 minit dari outlet,” ujarnya sambil menekankan bahawa gaji mereka ‘mati’, tanpa sebarang tambahan walaupun tugasnya lebih berat.
Dalam ciapan lain, seorang pengguna menjelaskan bahawa 99 Speedmart mungkin tersenarai di Bursa Saham, namun kekayaan sebenar pemiliknya dibina atas penat jerih pekerjanya.
Gaji yang rendah, faedah yang tidak jelas, dan kerja sepanjang masa termasuk hujung minggu adalah sebab mengapa ramai pekerja meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial.
“Bacalah balasan daripada pekerja 99 Speedmart… Gaji rendah, kerja sepanjang masa, setiap hari termasuk hujung minggu, faedah entah ke mana, dan sebagainya,” katanya, sambil menambah bahawa keadaan ini membolehkan pemilik syarikat menjadi ‘billionaire.’
Diharapkan pihak pengurusan akan mengambil komen bekas pekerja ini untuk menambah baik persekitaran kerja dengan manfaat dan gaji yang setimpal.
Untuk rekod, 99 Speedmart Retail Holdings Bhd menyaksikan kekayaan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Thiam Wah, meningkat sebanyak RM2 bilion, lapor Berita Harian.
Beliau kini sebaris dengan bilionair seperti Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, yang berada di tangga kelapan dalam senarai 50 individu terkaya Malaysia Forbes (AS$2.4 bilion), dan tokoh korporat Genting Bhd, Tan Sri Lim Kok Thay (AS$2.2 bilion).
BACA: Raja Azrey dedah kenapa namanya selalu ditolak stesen TV sejak 7 tahun lalu