Tuan Ibrahim disebut akan jadi Ketua Pembangkang. Berbaki 10 hari sebelum Sidang Dewan Rakyat bermula pada 19 Disember ini, persoalan mengenai siapa Ketua Pembangkang terus menjadi tanda tanya.
Sikap kunci mulut pemimpin Perikatan Nasional (PN) menyebabkan timbul pelbagai spekulasi berhubung jawatan itu walaupun Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyatakan gabungan parti itu sudah melantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Mengikut tradisi, Ketua Pembangkang dipilih berdasarkan parti yang diwakilinya, yang membentuk jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat.
Malah, ada yang menyatakan Ketua Pembangkang dilihat sebagai Perdana Menteri dalam penantian.
Justeru, nama Abdul Hadi disebut lebih layak menjadi Ketua Pembangkang berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PN.
Untuk rekod, PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menang 49 kerusi, dengan menyapu bersih kerusi di Kelantan dan Terengganu.
PAS bertanding menggunakan logonya sendiri di Kelantan dan Terengganu, manakala di negeri lain menggunakan logo PN.
BERSATU pula mencatatkan kemenangan di 28 kerusi berbanding 73 kerusi yang dimenangi PN.
Bagi penganalisis politik, Muhyiddin lebih layak menjadi Ketua Pembangkang kerana kapasitinya sebagai ketua parti gabungan iaitu Pengerusi PN walaupun partinya, BERSATU hanya menang 28 kerusi.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Nordin, berkata Muhyiddin lebih layak menjadi Ketua Pembangkang kerana kapasitinya sebagai ketua gabungan.
Katanya, secara tradisi sememangnya parti yang mendapat kerusi tertinggi dipilih sebagai ketua pembangkang, namun kapasitinya sebagai ketua gabungan parti dilihat satu kelebihan kepadanya.
Selain Muhyiddin dan Abdul Hadi, pertimbangan juga perlu diberikan kepada Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Berbanding Abdul Hadi, ramai yang menyatakan Tuan Ibrahim lebih sesuai kerana mendakwa Ahli Parlimen Marang tidak mempunyai `kepintaran’ untuk menjadi Ketua Pembangkang.
Penganalisis politik, Prof Dr James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania dilaporkan berkata, kemampuan Abdul Hadi diragui untuk menjadi Ketua Pembangkang disebabkan masalah kesihatannya.
Noor Nirwandy turut menyatakan, Tuan Ibrahim mempunyai potensi untuk dipertimbangkan kerana Ahli Parlimen Kubang Kerian itu ada pengalaman sebagai Menteri dan disenangi banyak pihak.
Malah, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bakal dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
Pada masa sama, Tuan Ibrahim yang banyak pembabitannya dalam Muafakat Nasional (MN), dikatakan lebih lembut dan dilihat lebih efektif serta rasional dalam menjalankan tugasnya.
Ini kerana berdasarkan situasi semasa, rakyat tidak mahukan Ketua Pembangkang yang retorik dan bersuara lantang semata-mata, sebaliknya yang boleh bertindak rasional dalam menjalankan peranan untuk semak dan imbang.
Perkara itu diakui Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Katanya, Tuan Ibrahim sesuai menjadi Ketua Pembangkang, namun menegaskan PN sudah ada keputusan berhubung perkara itu.
“Dalam PN, kita mengamalkan syura dan nama Ketua Pembangkang akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata tidak timbul isu mengenai pemilihan Ketua Pembangkang kerana PN sudah mencapai keputusan mengenainya melalui musyawarah.
Ketika pentadbiran PH pada 2018-2019, Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Ketua Pembangkang walaupun ketika itu beliau bukan Pengerusi Barisan Nasional (BN), yang menjadi pembangkang dengan kerusi terbanyak.
Ketika pentadbiran Muhyiddin, Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditawarkan jawatan Ketua Pembangkang bertaraf Menteri Kanan bagi melaksanakan reformasi Parlimen.
Namun, Anwar menolak tawaran itu kerana mendakwa tawaran itu sebagai satu penghinaan baginya yang pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada pentadbiran Ismail Sabri, tawaran yang sama diberikan kepada Anwar dan diterima dengan baik, namun Anwar menolak semua elaun yang ditawarkan iaitu sebanyak RM33,500.