Trauma Covid-19 pun tak habis, datang pula HMPV, apa itu?

Oleh FAHMI ABBAS

Baru sahaja kita berusaha pulih dari trauma COVID-19, kini muncul pula kebimbangan terhadap virus baru, iaitu Human Metapneumovirus (hMPV).

Isu ini mula tular di China dan menimbulkan kerisauan ramai mengenai penularan virus tersebut.

Namun, pada Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa hMPV bukanlah penyakit baru, walaupun terdapat lonjakan kes di China pada masa ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam kenyataannya berkata, sepanjang tahun 2024, KKM telah mengesan 327 sampel positif hMPV, berbanding 225 kes pada tahun 2023.

Virus ini sebenarnya merupakan salah satu jenis jangkitan saluran pernafasan yang tergolong dalam keluarga Pneumoviridae.

Trauma Covid-19 pun tak habis, datang pula HMPV, apa itu?

Dr Dzulkefly turut menjelaskan bahawa jangkitan hMPV tidak diwajibkan untuk dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Malaysia.

Menurut laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), hMPV pertama kali dikenalpasti pada tahun 2001 dan boleh merebak melalui kontak langsung dengan individu yang dijangkiti atau melalui permukaan yang tercemar. Penyebaran virus ini boleh berlaku melalui batuk, bersin, berjabat tangan, dan menyentuh objek seperti telefon atau pemegang pintu yang tercemar.

Gejala jangkitan hMPV boleh berbeza-beza, dari yang ringan hingga yang lebih serius. Antara gejala ringan adalah batuk kering, selesema, dan sakit tekak. Bagi kes yang lebih serius, individu mungkin mengalami sesak nafas, keletihan, dan wheezing. Dalam kes yang lebih teruk, hMPV boleh menyebabkan komplikasi seperti bronkiolitis dan pneumonia.

Virus ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk kanak-kanak bawah umur 5 tahun, warga emas berusia lebih dari 65 tahun, serta individu dengan sistem imun yang lemah. Oleh itu, pencegahan adalah langkah utama untuk mengelakkan penularan virus ini.

Beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk:

Mencuci tangan dengan sabun dan air secara berkala.

Menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.

Membersihkan permukaan yang sering disentuh.

Menghindari kontak rapat dengan individu yang sakit.

Kita perlu memberi perhatian serius terhadap kesihatan diri dan keluarga. Jika mengalami gejala pernafasan, segera dapatkan rawatan, terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan warga emas.

Dengan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai hMPV dan langkah-langkah pencegahan yang tepat, kita dapat bersama-sama mengurangkan penularan virus ini di kalangan masyarakat.

BACA:Polis dedah punca sebenar lori minyak sawit tiba-tiba terbabas ramai tak perasan

2 thoughts on “Trauma Covid-19 pun tak habis, datang pula HMPV, apa itu?”

Leave a Comment