Tip kepada graduan baharu untuk mendapat pekerjaan pertama sebagai panduan

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

TAHNIAH diucapkan kepada semua graduan! Anda sudah melakukan yang terbaik.

Semoga segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil yang membanggakan.

Selepas tamat belajar, anda tidak lagi bergelar sebagai seorang pelajar.

Tip kepada graduan baharu untuk mendapat pekerjaan pertama sebagai panduan

Anda sudah mula perlu melangkah ke alam dewasa yang bekerja.

Pasti ramai di antara anda yang sedang takut, gementar dan cemas apabila memikirkan tentang kerja.

Proses pencarian kerja pula boleh menjadi sangat mencabar. Jadi, kami kongsikan tip kepada graduan baharu untuk mendapat pekerjaan pertama sebagai panduan.

1.Wujudkan mindset yang kuat

Kekal positif dalam perjuangan mencari kerja ini adalah satu kemestian. Anda perlu bersedia untuk semua kemungkinan termasuk kegagalan temuduga atau terlepas peluang. Tetapi, ini perkara biasa lebih-lebih lagi jika ia adalah kali pertama anda untuk mencari kerja.

Perlu diingat bahawa persaingannya yang sukar dan setiap industri pekerjaan sentiasa mencari pekerja yang lebih layak.

Anda juga perlu tanamkan kecekalan dalam diri. Kecekalan bermakna perlu sentiasa bersedia untuk belajar daripada kekurangan dan cuba untuk menaik taraf diri menjadi versi yang lebih baik.

Cabaran akan kekal terus mendatang untuk memberi pengajaran dan pengalaman dalam kehidupan. Jadi, sambut dan atasi cabaran dengan pemikiran yang kuat dan terbuka.

2.Luaskan rangkaian sosial

Pembinaan rangkaian bermula sebaik sahaja anda mula mengenali orang. Pastikan anda mempunyai hubungan yang baik dengan rakan kolej, profesor atau mana-mana kenalan profesional yang lain. Sekiranya anda seorang introvert, cuba untuk keluar daripada zon selesa.

Anda juga boleh menyertai komuniti dalam talian di mana orang ramai berkongsi pengalaman kerja dalam bidang kerja tertentu. Ini akan memberitahu anda tentang perkara yang diharapkan sebaik sahaja anda mula mencari pekerjaan.

Antara platform media sosial yang sesuai untuk anda mula membina dan mencari rangkaian profesional ialah LinkedIn dan Twitter.

3.Tahu apa yang anda mahukan

Bagi sesetengah orang, tempoh empat tahun belajar di universiti tidak cukup untuk mengenali diri sendiri. Sekiranya rasa seperti anda tidak tahu apa yang diminati, apakah kekuatan dan kelemahan pada diri, ambil inisiatif untuk mula mengetahui lebih lanjut tentang diri sendiri.

Tanyakan kepada diri sendiri soalan seperti “adakah saya suka bekerja dengan orang lain?” atau “adakah saya mahu bekerja di mana saya boleh bersendirian di rumah?”.

Mengetahui perkara yang anda inginkan akan membantu mewujudkan matlamat yang dicari. Susun strategi ke arah objektif anda dan teruskan bekerja keras sehingga berjaya mencapai impian.

4.‘Jual’ diri

Jual diri di sini bukan bermaksud apa-apa yang negatif. Maksud jual diri ialah cari kekuatan kemahiran atau pengetahuan yang anda ada dan kukuhkannya. Sebagai contoh, kekuatan anda ialah mempunyai suara yang sedap.

Jadi, apa yang perlu dilakukan ialah berlatih membaca berita atau pengacaraan sekiranya anda mempunyai cita-cita ke arah itu.

Malangnya, kebanyakan graduan baharu kini mempunyai set kemahiran yang lemah. Masih belum terlambat untuk anda ubah nilai diri sendiri. Sertai program-program yang boleh meningkatkan mana-mana kemahiran yang anda ada.

5.Yakin dengan diri sendiri

Untuk menjual diri kepada majikan memerlukan keyakinan yang tinggi.

Sebelum majikan meletakkan kepercayaan mereka kepada kemahiran diri yang anda jual, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah mesti percaya dan yakin bahawa diri anda berkualiti dan calon pekerja yang paling sesuai berbanding calon lain.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa keyakinan tidak boleh mengatasi sifat rendah hati. Sentiasa tunjukkan kesediaan untuk berkembang dan belajar walaupun sebenarnya anda sudah yakin dengan kemahiran diri sendiri.

BACA: Punyalah hebat Angkatan Tentera Malaysia sampai Hollywood sengaja sembunyikan kisah sebenar dari kita