Tindakan pantas dua beranak selamatkan penjawat awam

Oleh MHDAILY

Tindakan pantas dua beranak berjaya menyelamatkan seorang penjawat awam yang nyaris dihanyutkan air bersama kereta dipandunya di Kampung Batu 10 berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu, Ausdi Muhamed, 53, dan anaknya Amir Syafiq, 28, sedang berehat di rumah sebelum menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung yang memaklumkan terdapat sebuah kereta dihanyutkan air di kawasan tersebut.

“Dia pesan agar saya bawa bot kerana dipercayai pemandu masih berada dalam kereta tersebut. Saya dan anak bergegas pergi menaiki traktor dan membawa bot ke lokasi kejadian yang terletak satu kilometer dari rumah.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Dari jauh memang nampak ada kereta Perodua Myvi berwarna putih terapung-apung setelah melanggar batang paip. Saya dan anak menaiki bot untuk sampai ke kereta tersebut.

“Mulanya kami bercadang hendak pecahkan cermin untuk menyelamatkan pemandu lelaki itu, namun percubaan membuka pintu akhirnya berjaya dan beliau menaiki bot kami untuk ke bahu jalan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Difahamkan, pemandu Perodua Myvi itu yang bekerja sebagai pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kemaman di Chukai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja selepas pulang bercuti di kampungnya di Bukit Payong dekat Marang.

Ausdi yang bertugas di Majlis Perbandaran Kemaman berkata, dia dan anaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk menyelamatkan penjawat awam itu.

“Kebetulan saya berada di rumah ketika itu dan syukur penjawat awam itu selamat. Bagaimanapun keretanya pula terpaksa ditarik dengan menggunakan khidmat dua agensi iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, mangsa yang berusia 27 tahun itu bertolak dari Marang pada 10.15 pagi tadi untuk bekerja syif pada sebelah malam.

“Ketika sampai di lokasi, mangsa cuba meredah air yang sedang melimpah atas jalan walaupun ketika itu arus laju.

“Tidak lama kemudian, kereta yang dipandu mangsa tiba-tiba dibawa arus ke sebelah kiri bahu jalan dan hanyut ke dalam semak menyebabkan mangsa terperangkap di dalam kereta selama 15 minit,” katanya.

Zailani berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Balai Polis Chukai untuk membuat laporan kemalangan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/19/dua-beranak-selamatkan-pemandu-kereta-dihanyut-air-di-kemaman/