Giliran Perlis pula ‘dijangkiti’ ketukan misteri di rumah antara pukul 2 hingga 4 pagi sehingga ada yang berseloroh ‘makan dalam’ berkata mungkin suruh bangun solat tahajud.
Tular di media sosial ketukan misteri itu telah menular di sekitar kawasan Chuping dan Arau, dekat Perlis.
Sebelum ini, ketukan agak kuat itu menghantui penduduk di beberapa kampung di negeri Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Tiga negeri dah kena ketukan misteri, sekarang giliran Perlis, mungkin suruh solat tahajud
Di Perlis setakat ini, kira-kira 30 rumah di Kampung Baru Lubuk Machang, Chuping diganggu ketukan misteri itu dengan penghuni kediaman itu memaklumkan mengalami gangguan sama menerusi kumpulan WhatsApp komuniti setempat.
Antaranya, Fatin Adilla Rosli, 31, memberitahu bahawa dia terdengar bunyi itu di rumahnya kira-kira pukul 2.30 pagi, 12 Januari lalu.
“Ia berlaku ketika saya pulang ke rumah selepas bertemu rakan dan sedang berehat bersama ibu di ruang tamu rumah, tiba-tiba saya terdengar ketukan kuat dari arah tingkap bilik sebanyak dua kali.
“Saya berasa takut dan enggan ambil risiko lalu membiarkan saja ketukan itu. Ia berlaku tidak lama, hanya dua minit,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohammad Zalghafari Mohd Zainuddin, 25, mendakwa, gangguan ketukan misteri itu berlaku di rumahnya keluarganya kira-kira pukul 2.45 pagi.
“Saya baru sampai rumah kira-kira pukul 2 pagi, lalu terdengar ketukan kuat sebanyak tiga kali di tingkap bilik dan menyelak langsir kerana bimbang kehadiran pencuri.
“Bagaimanapun tiada kelibat sesiapa di sekitar rumah. Saya tidak berpuas hati lalu keluar memeriksa, namun tidak ada orang di luar rumah,” ujarnya.
Sehubungan itu, penduduk setempat meminta bantuan polis meronda kawasan sekitar kerana bimbang kehadiran pencuri dan sebagainya.
Selain Kampung Baru Lubuk Machang di Chuping, ketukan menyeramkan penduduk itu juga didakwa berlaku di Taman Intan, Arau.