Tidak mustahil Mahathir dan Anwar bekerjasama sekali lagi, kata Pejuang

Tidak mustahil Mahathir dan Anwar bekerjasama sekali lagi, kata Pejuang

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad pada Ogos tahun lalu mengumumkan bahawa dia dan rakan-rakannya yang telah dipecat daripada Bersatu akan menubuhkan sebuah parti politik baru berasaskan Melayu.

Pengumuman itu dibuat setelah saman yang dikemukakan mereka terhadap Bersatu dan kepemimpinan tertingginya diketepikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada ketika itu, enam pemimpin dalam kem Mahathir dilihat sebagai tonggak utama di belakang parti baru itu – Mahathir, anaknya Mukhriz, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Senator Marzuki Yahya yang juga Setiausaha Agung Bersatu.

Namun, apabila tiba masanya Mahathir mengumumkan nama parti baru berkenaan, salah seorang daripadanya tiada dalam senarai.

Individu berkenaan ialah Syed Saddiq, yang pernah digelar sebagai anak emas Mahathir. Hanya selepas itu Syed Saddiq diketahui memiliki idea lain, iaitu untuk menubuhkan gerakan politik baru yang sekarang dikenali sebagai Muda.

Malaysiakini dalam wawancara dengan Marzuki minggu lalu mengajukan pertanyaan berkenaan Syed Saddiq kepada timbalan presiden jawatankuasa penaja Pejuang itu.

“Syed Saddiq ini adalah satu daripada ikon yang dicipta dalam Bersatu dulu. Kita dah berjaya letakkan beliau sebagai ikon anak muda.

“Bila berlaku perpecahan dalam Bersatu beliau buat keputusan untuk mengadakan parti sendiri iaitu parti Muda dan tak nak bersama dengan kita kerana ada sikit pandangan bahawa dia lebih nak fokus kepada golongan muda.

“Bagi saya Syed Saddiq seperti adik-adik saya dalam Bersatu dulu yang mana kita tahu bahawa susah senang kita pernah bersama. Saya tetap hormati keputusannya, kita tak pernah melawan satu sama lain,” katanya.

Sebagai rekod, Syed Saddiq merupakan ketua Pemuda Bersatu ketika Mahathir menjadi pengerusinya. Dia juga merupakan salah seorang daripada tujuh pengasas parti berkenaan.

Menurut Marzuki, bukan sahaja Pejuang tidak menyimpan dendam terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu, malah mereka juga bersedia bekerjasama dengan Muda secara politik.

“Maka sebab tu kalau Muda sekalipun ingin bersama dengan kita atas asas perjuangan yang kita bawa, then we welcome everyone. Itu tak jadi halangan yang besar.

“Dalam Pejuang juga kita melahirkan pemimpin-pemimpin muda sekarang seperti Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, kita telah melantik beliau sebagai ketua pemuda ataupun yang akan mengetuai anak-anak muda dalam Pejuang.

“Insya-Alah dia boleh jadi sebahagian daripada pemimpin masa depan yang mana juga boleh berganding bahu dengan Syed Saddiq untuk kepentingan negara Malaysia yang kita cintai,” jelasnya.

Sementara itu, Malaysiakini juga bertanya kepada Marzuki mengenai hubungan Mahathir dan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Hubungan antara kedua-dua ahli politik veteran itu semakin buruk selepas Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lalu.

Mahathir didakwa menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri apabila membuat keputusan berundur, di sebalik menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Mengulas perkara itu, Marzuki yang menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas sebaliknya mendakwa pihak yang harus dipersalahkan adalah PKR sendiri.

“Yang tinggalkan PH waktu tu majoritinya datang daripada PKR. Kita semua tahu daripada PKR yang mana diketuai oleh Azmin Ali,” katanya.

Azmin yang sebelum ini merupakan bekas timbalan presiden dalam PKR dilihat lebih berpihak kepada Mahathir berbanding Anwar.

Hubungan Mahathir dan Anwar menjadi semakin tegang ketika parti-parti pembangkang berusaha merampas kembali Putrajaya dari Perikatan Nasional yang dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, apabila kedua-duanya enggan menyokong satu sama lain sebagai calon perdana menteri.

Namun, bagi Marzuki, dia optimis bahawa gencatan politik masih boleh berlaku antara kedua pemimpin tersebut.

“Saya tidak melihat bahawa itu perkara yang mustahil tidak boleh berlaku.

“Segala-galanya boleh berlaku yang penting kita kena tahu hala tuju yang sebenar.

“Yang paling penting sekarang kalau kita mempunyai naratif yang sama untuk selamatkan negara dan situasi sedia ada, kita tetap bersama.

“Jadi saya beranggapan bahawa untuk bekerjasama (dengan PKR sekali lagi) tu bukan satu perkara yang mustahil. Cuma bagi saya cara dan kaedahnya macam mana mahu bekerjasama,” katanya.-MK

COMMENTS