“Tiada siapa boleh atasi undang-undang” Menteri Kesihatan respon ahli parlimen merokok di kedai makan

Oleh JUNAIDA MAHUSIN

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa tiada sesiapa yang terlepas daripada penguatkuasaan

Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), susulan dakwaan Menteri Luar,

Mohamad Hasan yang dikatakan merokok di sebuah kedai makan.

“Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang,” katanya menerusi ciapan di X sebagai respons terhadap gambar yang menunjukkan Mohamad merokok di kedai makan.

Dzulkefly menegaskan bahawa Akta 852 yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu akan dilaksanakan tanpa pilih kasih.

"Tiada siapa boleh atasi undang-undang" Menteri Kesihatan respon ahli parlimen merokok di kedai makan

Namun, Dzulkefly tidak mengesahkan sama ada individu dalam gambar tersebut adalah Mohamad, mahupun mendedahkan tindakan spesifik yang akan dikenakan.

Menurut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, individu yang merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.

Sementara itu, pemilik perniagaan yang gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.

Seksyen 16 Akta 852 pula menetapkan bahawa individu yang merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

BACA: Ciptaan manusia tak mampu halang kuasa pencipta, air laut melimpah masuk Jakarta