Tiada kerjasama Pas dan Umno di Terengganu, dakwa Ahmad Said

Tiada kerjasama Pas dan Umno di Terengganu, dakwa Ahmad Said

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengakui tidak berlaku kerjasama antara kepimpinan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di Terengganu.

Beliau berkata, semangat kerjasama di peringkat negeri tidak wujud bukan seperti yang berlaku di peringkat nasional.

“Persoalan sekarang mereka (Pas) masih mengamalkan sikap yang lama. Mereka kata mahu menjalin muafakat tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Misalnya berlaku tidak adil dalam agihan wang bantuan RM10 juta daripada kerajaan Pusat bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19) di setiap negeri.

“Di Terengganu ia tidak diberikan secara sama rata kepada wakil rakyat UMNO. Wakil rakyat Pas menerima RM350,000 sebaliknya wakil rakyat UMNO mendapat sebanyak RM45,000. Itu pun selepas saya ‘bising’ mengenai hal itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, hari ini.

Menurutnya, beliau mempertikaikan peruntukan itu kerana disalurkan oleh kerajaan Pusat dan perlu diagihkan sama rata seperti yang dilakukan di Pahang dan Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut membangkitkan beberapa isu lain yang dilihat padanya tidak menggambarkan kewujudan semangat kerjasama antara Pas dan UMNO di Terengganu.

Katanya, jalinan kerjasama erat tidak berlaku di Terengganu walaupun tiga pertemuan sejak pembentukan MN pada 14 September lalu.

“Apa yang berlaku ini saya turut maklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malah kepimpinan beliau di peringkat nasional sudah maklum mengenai situasi yang berlaku di Terengganu,” katanya.

Semalam, Ahmad turut membangkitkan mengenai isu agihan peruntukan RM10 juta bagi bantuan Covid-19 ketika sesi perbahasan ketika Persidangan DUN.

Selain itu, Ahmad turut mempersoalkan tindakan kerajaan Terengganu melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan-jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Menurutnya, individu yang mempunyai rekod yang tidak baik dan pernah dipecat didakwa turut dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/96201/BERITA/Politik/Tidak-wujud-kerjasama-Muafakat-Nasional-di-Terengganu-Ahmad

COMMENTS