Tiada isu pesakit Covid buat video senaman, Tik Tok sesama sendiri

Tiada isu pesakit Covid buat video senaman, Tik Tok sesama sendiri

Pesakit COVID-19 yang berada di pusat kuarantin bebas melakukan apa sahaja aktiviti sesama mereka kerana tiada lagi risiko menjangkiti orang lain.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, situasi seperti yang digambarkan dalam beberapa video tular, di mana pesakit melakukan senaman dan merakam video tarian TikTok bersama-sama di pusat kuarantin, bukan satu masalah.

“Tidak timbul lagi isu penjarakan fizikal kerana penjarakan fizikal adalah untuk mengelakkan mereka yang sihat daripada dijangkiti.

“Tetapi bagi pesakit yang berada di pusat kuarantin, tiada lagi risiko itu kerana semuanya sudah dijangkiti.

“Begitu juga tidak perlu lagi menjarakkan katil mereka serta tidak perlu juga untuk mengelak menggunakan ruang bersama,” katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.

Sebaliknya, aktiviti sedemikian dilihat sebagai sesuatu yang baik terutama dalam membantu meningkatkan moral pesakit.

“Kita dapat lihat bagaimana mereka saling memberi sokongan kepada satu sama lain.

“Yang baru masuk, mereka akan beri kata-kata semangat manakala yang keluar, mereka memberi sorakan dan saling mendoakan.

“Ini perkara yang baik dan bukan satu masalah,” ujarnya.

“Kalau boleh, pilih untuk duduk di bilik yang mempunyai bilik air sendiri. Jika terpaksa berkongsi, pastikan bilik air dibersihkan dengan cecair pencuci seperti Clorox.

“Bukan bilik air sahaja tetapi semua tempat yang disentuh seperti suis lampu, tombol pintu dan sebagainya.

“Selain bilik air, elakkan keluar ke ruang lain seperti dapur atau ruang tamu. Jika terpaksa keluar, pesakit dan penghuni lain perlu memakai pelitup separuh muka.

“Makanan boleh dihantar tanpa bersemuka. Mungkin boleh tinggalkan di hadapan bilik. Sebaiknya, gunalah pinggan dan perkakasan pakai buang. Malah, pakaian juga perlu dicuci berasingan,” katanya. – AA

COMMENTS