Tesla batal buka kilang di Malaysia, ini sebenarnya yang jadi

Oleh SURIANI HAMDAN

Tesla dilaporkan tidak akan membina kemudahan pembuatan kereta elektrik (EV) di Malaysia, Thailand, atau Indonesia.

Menurut laporan akhbar Thailand, The Nation, yang memetik sumber daripada kerajaan Thailand,

pengeluar EV tersebut akan menumpukan usaha mereka kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.

Tesla sebelum ini bersedia untuk melabur AS$5 bilion untuk hab pembuatan Asia Tenggara dan telah memilih Thailand sebagai lokasi pilihan.

Pada masa yang sama, Malaysia dan Indonesia juga telah menawarkan peluang untuk Tesla membuka kemudahan pengeluaran mereka.

Tesla batal buka kilang

“Sekarang ini, Tesla hanya membincangkan mengenai stesen pengecasan, dengan rancangan untuk kilang digantung bukan sahaja di Thailand tetapi di seluruh dunia.

“Mereka tidak meneruskan rancangan di Malaysia, Indonesia, atau mana-mana lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat, dan Jerman,” kata sumber tersebut.

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, pada November lalu mengumumkan bahawa Tesla bersedia menjadikan Thailand sebagai hab pembuatan EV.

Pengumuman tersebut dibuat selepas beliau mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak eksekutif Tesla di AS dan Thailand.

Tesla kini telah memutuskan untuk membatalkan rancangan pelaburannya di Thailand selepas membubarkan pasukan eksekutifnya.

Keputusan ini adalah sebahagian daripada pembatalan pelaburan Tesla di seluruh Asia dan negara-negara lain.

Sebelum ini, Tesla juga telah mengumumkan bahawa mereka telah menghentikan rancangan untuk membina sebuah kilang di Mexico sehingga selepas pilihan raya Presiden AS pada bulan November, berikutan janji calon, Donald Trump, untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas kenderaan buatan Mexico.

Kilang di Monterrey, Nuevo León diumumkan pada Mac lalu dan dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2025.

Namun, projek tersebut telah menghadapi beberapa kelewatan dan ketidakpastian.

Menjelang September 2023, beberapa pembekal Tesla telah memperlahankan rancangan mereka untuk membina kemudahan pembuatan baharu di Mexico, bimbang ia tidak akan disiapkan tepat pada masanya.

Pada Oktober, Tesla mengesahkan bahawa mereka telah menangguhkan projek tersebut disebabkan kebimbangan ekonomi.

BACA: “18 tahun kahwin, kakak balik kampung macam datang kenduri, akhirnya mak suruh saya sampaikan dekat kakak, anggap je mak takde”