Peminat sukan dunia sebelum ini tertanya-tanya tentang kotak misteri yang diterima oleh pemenang selain daripada kalungan pingat semasa upacara penyampaian hadiah.
Misteri itu akhirnya terungkai apabila atlet kayak Australia, Jessica Fox, mendedahkan kandungan kotak tersebut.
Jessica, pemenang dua pingat emas dalam acara perseorangan kanu (C1) dan kayak (K1),
berkongsi rahsia kandungan kotak berkenaan melalui TikTok di akaun @jessfoxcanoe.
“Biasa pemenang pingat Sukan Olimpik akan mendapat bunga dan maskot, namun kali ini di Paris berbeza.
Kami mendapat poster yang unik dan maskot kecil. Cantik serta istimewa,” katanya.
Maskot mini Paris 2024 yang dikenali sebagai Phryge turut disertakan dengan ucapan tahniah yang ditulis dalam bahasa Perancis di belakangnya.
Video berdurasi 39 saat itu memaparkan lukisan buatan tangan yang termasuk imej cincin Olimpik, Menara Eiffel, lokasi bersejarah, dan venue pertandingan seperti Stade de France.
Menurut portal rasmi temasya, poster tersebut dihasilkan oleh ilustrator terkenal Perancis, Ugo Gattoni.
Idea dan simbolik di sebalik poster itu adalah untuk mencerminkan visi, alam, dan keindahan kota Paris sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Paris 2024. Gattoni menghabiskan lebih 2,000 jam dalam tempoh enam bulan untuk melakar karya seni istimewa tersebut.