TERKINI | Sah Syed Saddiq botak, #botakchallenge berjaya kumpul RM383,000

TERKINI | Sah Syed Saddiq botak, #botakchallenge berjaya kumpul RM383,000

Berjaya!

Misi #botakchallenge oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam usaha mengumpul RM200,000 untuk membeli komputer riba bagi keluarga susah di kawasan Parlimennya mencapai sasaran.

Menariknya beliau berkata, jumlah kutipan sumbangan untuk ‘Kempen 1 Rumah 1 Komputer’ itu melebihi daripada jumlah sasaran tersebut.

“Setakat pukul 7 (malam) tadi, alhamdulillah kita bukan hanya mencecah RM200,000 tetapi dah nak kali dua iaitu RM383,000.

“Terima kasih kerana membantu keluarga susah di Muar supaya kita dapat kurangkan jurang digital di Muar,” katanya dalam AWANI745 pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberitahu, perkara unik disedarinya adalah kebanyakan yang menyalurkan sumbangan bukan terdiri daripada penderma besar.

“Purata sumbangan dalam lingkungan RM34 hingga RM37 bermakna mereka penyumbang kecil.

“(Bagaimanapun) Jumlahnya sangat besar… refurbished laptop jumlahnya RM120,000 dan yang lain sumbangan kecil melalui tunai,” katanya.

Tambah beliau, perancangannya selepas ini adalah memohon kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan pengagihan komputer riba itu berjalan secara adil.

“Esok atau pada hari susulannya saya akan jumpa atau hantar surat secara rasmi kepada SPRM supaya turut serta bantu dalam proses penyampaian agar ia dapat dilakukan dengan adil.

“Kita hendak audit sebaik mungkin sebab kita hendak sampaikan komputer riba ini kepada semua pihak (selain) memastikan ia berkualiti tinggi, bukan yang tahan dua tiga bulan sahaja,” kata beliau.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kesanggupan atau keberaniannya untuk membotakkan kepala sehingga licin, Syed Saddiq berkata: “Bukan berani atau tidak, tapi apabila janji telah dibuat, janji perlu ditunaikan walaupun ibu tengok dalam studio macam tak nak sahaja… tapi ini tanggungjawab.

“Tak apa, rambut boleh tumbuh tapi (hasil) sumbangan ini akan kekal lama,” katanya.

Sehingga jam 9.30 malam ini, proses memotong rambut beliau masih berlangsung dan boleh diikuti secara langsung di Facebook, YouTube dan Twitter Astro AWANI.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/botakchallenge-syed-saddiq-berjaya-kumpul-rm383000-275371