Terkini !!! PKP di Seremban dan Port Dickson bermula esok

Terkini !!! PKP di Seremban dan Port Dickson bermula esok

Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan susulan peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP di dua kawasan itu akan berkuat kuasa bermula 19 Januari (esok) hingga 1 Februari.

Menurut Ismail, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kadar jangkitan yang sangat tinggi di Seremban dan berlaku peningkatan kes secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu dari 777 hingga 876 kes.

Selain itu, katanya, kebanyakan mukim di Seremban juga adalah zon merah iaitu tujuh daripada sembilan mukim.

“Bilangan kes yang dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim adalah dalam lingkungan 56 hingga 283 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Manakala di Port Dickson, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang melibatkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di daerah Seremban dan Port Dickson selama 14 hari bermula 19 Januari sehingga 1 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKP ini adalah untuk mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan di kedua-dua daerah ini,” katanya. – MK

COMMENTS