Terkini !!! Kedai boleh beroperasi hingga 10 malam mulai esok – Ismail Sabri

Terkini !!! Kedai boleh beroperasi hingga 10 malam mulai esok – Ismail Sabri

Kerajaan melanjutkan waktu operasi semua sektor atau aktiviti perniagaan yang dibenarkan sehingga pukul 10 malam bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi menyelaraskan semula waktu operasi perniagaan membabitkan semua sektor yang diluluskan sebelum ini.

Katanya, ia juga secara tidak langsung memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan Task Force Operasi yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setelah membuat penilaian risiko, kita bersetuju untuk melanjutkan waktu perniagaan bagi sektor-sektor yang dibenarkan sehingga pukul 10 malam.

“Antaranya kedai runcit, farmasi, kedai keperluan harian, kedai makan, kedai dobi dan kedai cermin mata yang diumumkan sebelum ini.

“Kita seragamkan semua waktu perniagaan bagi setiap sektor yang kita benarkan,” katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.

Pada 22 Januari lalu, operasi semua jenis premis menjual makanan dan perkhidmatan penghantaran makanan di negeri-negeri yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan hingga pukul 10 malam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju untuk membenarkan sektor perhutanan, perkayuan dan rantaiannya yang melibatkan aktiviti pembalakan beroperasi mulai esok.

“Sidang khas juga bersetuju untuk membenarkan sektor itu beroperasi seperti biasa dan kebenaran juga bermula esok,” katanya. – AA