Penggunaan soket adalah perkara biasa dalam kehidupan seharian.
Malah, lokasi dan jumlah soket menjadi salah satu faktor utama ketika memilih rumah atau bilik sewa.
Soket yang tidak berfungsi bukan sahaja mengecewakan penyewa, tetapi juga menyukarkan aktiviti harian
seperti mengecas telefon atau menggunakan peralatan seperti kipas dan lampu.
Selain itu, soket yang kelihatan berbeza daripada biasa, seperti terlalu longgar atau mempunyai kesan hangus, boleh menimbulkan rasa ragu-ragu untuk menggunakannya.
Pernahkah anda mengalami keadaan di mana sarung kepala palam tercabut tetapi pin palam masih melekat di soket?
Atau mungkin anda menghadapi kesukaran memasang palam sehingga terpaksa mengetuknya? Jika ya, tentu anda bimbang tentang keselamatan penggunaan soket tersebut.
Masalah ini bukanlah kes terpencil dan mempunyai penyelesaiannya. Dengan memahami punca-punca masalah ini, soket dapat diselamatkan daripada dibiarkan tidak digunakan.
Berdasarkan perkongsian Electrical Faults Fixed, punca pertama yang sering ditemui ialah soket yang masih baharu. Oleh kerana soket ini belum atau jarang digunakan, bahagian dalamnya masih ketat kerana direka untuk memuatkan saiz pin standard dengan sempurna, bagi memastikan aliran elektrik yang baik.
Untuk mengatasi masalah ini, anda boleh mencuba menekan suis beberapa kali dan memeriksa sama ada ruang pin telah sedikit longgar
. Pastikan tiada palam dipasang semasa mencuba. Seterusnya, pasang dan cabut palam beberapa kali sambil memastikan suis dalam keadaan mati.
Punca kedua adalah kerosakan pada mekanisme pengatup di dalam soket. Ini biasanya dapat dikesan apabila palam hanya boleh dimasukkan separuh atau tidak boleh dipasang sama sekali.
Jika ini berlaku, soket tersebut perlu digantikan dan perkhidmatan juruelektrik bertauliah perlu diperoleh. Sebagai tip, periksa semua soket agar dapat digantikan serentak untuk lebih penjimatan.
Karat pada bahagian dalam soket juga boleh menyebabkan soket menjadi ketat. Karat akan menyumbat ruang pin, dan jika terdapat kesan karat pada pin palam, soket perlu diganti.
Namun, pastikan masalah kelembapan diselesaikan terlebih dahulu untuk mengelakkan masalah berulang.
Habuk dan kotoran yang masuk ke dalam ruang soket juga boleh menyebabkan masalah, terutamanya pada soket yang terdedah seperti di luar rumah.
Pengumpulan habuk boleh meningkatkan rintangan aliran elektrik, menyebabkan soket menjadi panas dan rosak.
Oleh itu, soket yang terjejas perlu digantikan. Jangan cuba membersihkan soket melalui ruang palam, kerana ini boleh menyebabkan renjatan elektrik atau kerosakan pada sistem elektrik.
Punca terakhir ialah pin palam yang patah dan tersekat di dalam soket. Jika ini berlaku, matikan sumber elektrik utama dan cuba keluarkan pin tersebut. Anda mungkin perlu mendapatkan khidmat juruelektrik dan menggantikan soket yang rosak.
Mengetahui punca dan penyelesaian ini dapat membantu memastikan penggunaan soket lebih selamat dan tahan lama.
BACA: Kerajaan Malaysia bayar kanak-kanak usia 10 tahun RM9.45 juta