Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, telah melahirkan kemarahan terhadap tindakan
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang,
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Tengku Hassanal bertitah bahawa sebagai bekas menteri, kenyataan Muhyiddin memanipulasi fakta
Dan membawa naratif negatif kepada rakyat, seolah-olah Al-Sultan Abdullah tidak berlaku adil dalam pemilihan Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau juga nampak tidak matang dan menunjukkan seolah-olah beliau masih belum boleh menerima hakikat bahawa beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan ini sangat berbahaya kerana ia secara terang-terangan menghasut rakyat untuk hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat,” titahnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.
Menurut Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang bertindak sebagai Ketua Negara.
Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang, menurut pertimbangan baginda, mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
Titahnya, walaupun Al-Sultan Abdullah diberikan kuasa mutlak oleh Perlembagaan untuk melantik Perdana Menteri, baginda tidak membuat keputusan tersebut secara sewenang-wenangnya.
Baginda telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara, dan mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan Perdana Menteri dilakukan.
“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 19 Disember 2022.
“Dengan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah ketika memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah Tengku Hassanal.
Justeru, Tengku Hassanal meminta pihak polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama, dan raja (3R).
“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik agar sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus menyatupadukan rakyat agar Malaysia, sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa, dapat menjadi negara maju,” titahnya lagi.
BACA: Majikan dari syurga ‘payung’ 4500 pekerja bercuti di hotel 5 bintang