Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan supaya proses tindakan lanjut
Berkaitan isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) dipercepatkan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan bahawa perkara ini adalah antara yang ditekankan
oleh Sultan Selangor dalam sesi pertemuan mingguan hari ini.
Baginda berpandangan bahawa pasukan siasatan perlu lebih cekap dalam meneliti sebarang kesalahan berkaitan GISBH, termasuk kes jenayah.
“Pada sesi pertemuan tadi, isu GISBH tidak dibincangkan secara spesifik, namun baginda meminta supaya tindakan lanjut dipercepatkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Esok, Dr Mohammad Fahmi Ngah (Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi) dijangka akan memberi beberapa penemuan mengenai perkara ini serta tindakan yang bakal diambil,”
katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Dialog Belanjawan Selangor 2025 di sini hari ini.
Beliau juga berkata sesi menghadap yang menjadi rutin mingguan itu turut membincangkan beberapa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan isu dan hala tuju negeri Selangor.
Difahamkan, sesi menghadap selama kira-kira dua jam itu berlangsung di Istana Bukit Kayangan di sini.