Tampal bendera israel di kedai makan, lelaki didenda RM100 je

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Seorang lelaki berusia 25 tahun didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di Kajang kerana menampal pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera minggu lalu.

Lelaki bernama Tariq Hazim Mohd Yusri, seorang pekerja sambilan sewa kereta, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz.

Dia diminta membayar denda RM100 atau dipenjara sehari jika gagal membayar denda tersebut.

Nurul Hafzan turut menasihati tertuduh agar memikirkan terlebih dahulu kesan daripada perbuatannya sebelum melakukan perkara seperti itu.

“Jika kamu berbuat begitu, adakah ia akan menjadikan keadaan lebih baik?” kata Nurul Hafzan.

Tampal bendera israel di kedai makan, lelaki didenda RM100 je

Menurut pertuduhan, Tariq Hazim didakwa meletakkan pelekat bendera Israel, yang dianggap boleh mengancam keselamatan pekerja di restoran tersebut yang terletak di Batu 10, Jalan Hulu Langat.

Dia melakukan perbuatan itu pada 29 Mei lalu pada jam 4.42 petang. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan – menurut sumber Sinar Harian.

Pada hari kejadian, seorang pekerja wanita yang dalam perjalanan ke tandas mendapati ada pelekat bendera Israel pada lantai kaki lima premis berkenaan.

Wanita itu melaporkan perkara tersebut kepada pegawainya dan mereka membuat semakan di kamera litar tertutup mendapati ada seorang lelaki yang melakukannya dan beredar menggunakan sebuah kereta.

Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nabilla Rosli yang mewakili Tariq, merayu agar anak guamnya diberi hukuman minimum atas alasan tertuduh sudah menyesali perbuatannya.

Nabilla turut menegaskan bahawa Tariq hanya pekerja sambilan yang masih menyara isteri yang merupakan seorang suri rumah serta ibu mertuanya yang juga ibu tunggal. Selain itu, ibu Tariq juga mengalami masalah jantung dan ayahnya mempunyai penyakit jantung.

Namun begitu, pihak Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran, memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal. Ini kerana mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam agar dia tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa akan datang.

Tariq kemudian menjelaskan dia bertindak demikian kerana terbawa-bawa dengan emosi setelah ahli keluarganya meninggal dunia di Palestin. Dipetik dari sumber Sinar Harian, Tariq Hazim berkata:

“Saya tampal bendera Israel di kedai makanan segera itu sebab saya marah, selepas ada keluarga saya meninggal dunia di Palestin.”

Sumber yang sama melaporkan bahawa polis Selangor telah menerima tujuh laporan kes restoran makanan segera diconteng dan ditulis dengan perkataan jelik di negeri itu bagi tempoh 28 Mei sehingga 6 Jun setakat ini.

Tindakan itu dipercayai kerana boikot yang sedang berlaku di tengah konflik yang berlaku di Gaza.

BACA: “Mertua suruh jual dan beli kete baru untuk anak jantan dia pakai, katanya myvi takde class,katanya kalau kereta besar, baru nampak gah”