Tak tahan kos sara hidup di Korea Selatan, pelarian nekad balik Korea Utara

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Kekecohan berlaku apabila seorang pelarian dari Korea Utara mencuri sebuah bas dan cuba memandu pulang

ke negara asalnya kerana merasakan hidup di Korea Selatan terlalu mencabar.

Insiden yang terjadi sekitar jam 1.30 pagi pada 1 Oktober itu menimbulkan tanda tanya ramai

apabila lelaki tersebut memandu kenderaan itu menuju ke arah Jambatan Unifikasi

sebuah laluan yang menghubungkan Korea Selatan dan Korea Utara, tetapi dihadkan aksesnya kepada orang awam.

Tak tahan kos sara hidup di Korea Selatan, pelarian nekad balik Korea Utara

Menurut laporan SBS News, lelaki tersebut mencuri bas kampung yang diparkir di sebuah garaj tempatan setelah mendapati kunci bas ditinggalkan di dalam enjin.

Beliau kemudian memandu kenderaan tersebut menuju ke Jambatan Unifikasi, yang merupakan salah satu laluan utama di kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

Walaupun pihak berkuasa cuba menghentikannya, lelaki itu nekad dan merempuh sebuah penghadang di atas jambatan sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa.

Setelah dikenal pasti, lelaki tersebut merupakan pelarian Korea Utara yang berjaya melarikan diri kira-kira 10 tahun yang lalu. Dia telah menetap di kawasan Sillim-dong, Seoul, selama ini.

Dalam sesi soal siasat, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu menyatakan bahawa kehidupan di Korea Selatan terlalu sukar untuk dihadapinya, sehingga membuatkan dia ingin pulang semula ke Korea Utara.

“Saya mahu pulang ke Korea Utara,” ujar lelaki itu, yang mendakwa tidak mampu lagi bertahan dengan cabaran hidup di Selatan.

Polis telah menjalankan ujian dadah dan alkohol terhadap lelaki berkenaan, namun keputusan menunjukkan dia tidak berada di bawah pengaruh mana-mana bahan terlarang.

Lelaki itu kini sedang disiasat atas kesalahan mencuri dan pelbagai tuduhan jenayah lain.

BACA: Jodoh tak panjang, majlis perkahwinan jadi majlis doa selamat