Baru-baru ini, seorang lelaki yang enggan namanya disiarkan berkongsi rasa gembira di Facebook
apabila usahanya mempertahankan haknya daripada dirampas bekas isteri akhirnya membuahkan hasil.
“Ada berita gembira nak dikongsi. Semalam aku dapat keputusan yang menggembirakan dari mahkamah syariah,” tulisnya di laman Facebook.
Walaupun lelaki ini terpaksa turun naik mahkamah hampir tiga tahun, dia berasa puas hati apabila mahkamah syariah
menolak permohonan bekas isterinya untuk mendapatkan harta sepencarian berupa enam buah chalet.
Menurutnya, perniagaan inap desa yang diusahakan itu bukan sahaja dimulakan sebelum dia berkahwin dengan wanita tersebut, tetapi juga dibina bersama arwah bapanya.
“Tuntutan harta sepencarian yang dibuat oleh bekas isteri ditolak. Dia menuntut enam buah chalet sebagai harta sepencarian, tetapi semua tuntutannya tidak diluluskan. Alhamdulillah,” katanya.
Lelaki ini juga mengimbau kembali perjalanan proses perceraian, di mana dia mula mendapatkan khidmat peguam syarie selepas bekas isterinya membuat tuntutan tunggakan nafkah sebanyak RM50,000 selain harta sepencarian.
“Kemudian, dia membuat permohonan tunggakan nafkah sebanyak RM50,000. Dengan bantuan peguam, mahkamah hanya memerintahkan aku membayar RM3,000 sahaja kerana peguam berjaya membuktikan dia nusyuz.
“Apabila dia failkan tuntutan nafkah, aku memang lantik peguam kerana dia keluar tanpa izin dan meminta jumlah yang banyak,” jelasnya.
Walaupun gembira dengan keputusan mahkamah, lelaki ini turut meluahkan rasa terkilan kerana keluarga mentuanya tidak memberi sokongan dan tidak menasihati bekas isterinya agar tidak nusyuz.
Katanya, bekas isterinya telah meninggalkan rumah tanpa izin hampir dua tahun dan mengabaikan arahan untuk pulang walaupun banyak mesej telah dihantar.
“Dekat dua tahun dia tidak pulang walaupun berpuluh-puluh mesej mengarahkannya pulang, akhirnya dia failkan cerai sahaja.
“Masa perceraian, aku tidak tahu apa-apa dan tidak pandai dalam hal ini, aku hanya menurut kerana dia mahukan cerai… sepanjang dia keluar, aku memang tidak pernah memberi nafkah,” tambahnya.
Menurutnya, bekas isteri juga mempunyai lelaki lain sehingga sanggup meninggalkannya begitu sahaja.
Di ruangan komen, ramai yang memberi ucapan tahniah kerana lelaki ini berjaya mempertahankan haknya daripada dirampas bekas isteri yang curang. Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa di mahkamah dan meminta tip untuk menang kes.
“Tahniah bro, semoga apa yang dikecapi ini menjadi tauladan dan pengajaran kepada semua.
“RM3,000 itu pun tidak layak jika sudah nusyuz, namun tahniah atas pencapaian ini.
“Tahniah tuan, jika tidak keberatan boleh kongsikan maklumat mengenai nusyuz isteri,” ujar beberapa pengguna maya.
BACA: Patutlah ramai datang beli, rupanya hotel terkenal jual kopi ais ‘berperisa lipas’