‘Tak semua kedai pak arab halal’, lelaki kongsi pengalaman termakan sosej kari babi

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Pengambilan makanan yang halalan toyyiban (bersih dan baik) adalah satu tanggungjawab dalam agama Islam.

Namun, ketika berada di luar negara, terutama di negara Barat, mencari makanan yang memenuhi piawaian Muslim boleh menjadi cabaran.

Dalam keadaan sedemikian, pelancong Muslim biasanya mencari restoran yang diuruskan oleh peniaga Timur Tengah, memandangkan kebanyakan daripada mereka diketahui sebagai umat Islam.

'Tak semua kedai pak arab halal', lelaki kongsi pengalaman termakan sosej kari babi

Namun, menerusi perkongsian di Facebook, seorang lelaki yang dikenali sebagai Hafiz memberikan amaran agar berhati-hati ketika makan di restoran Arab atau Turki.

Menurutnya, sesetengah daripada mereka yang mengendalikan restoran itu mungkin bukan beragama Islam, tetapi menyatakan makanan mereka sebagai halal.

“Hari ini, seseorang kontak aku mengenai makanan halal di Jerman. Kebetulan, aku mengajar bahasa Jerman. Isu di sini ialah dia tersilap makan daging babi kerana menganggap semua kedai kebab dan shawarma itu halal. Dia cuba hidangan Currywurst di sebuah kedai tanpa bertanya lebih dahulu.

“Hanya kerana yakin kedai itu halal, mungkin ada kasyaf (ilmu gaib) kot yang boleh tahu,” ujarnya.

Untuk makluman, Currywurst adalah hidangan makanan segera popular di Jerman, terdiri daripada sosej yang disajikan dengan kuah kari yang dikukus dan digoreng, dan biasanya mengandungi daging babi.

Hafiz memberi amaran bahawa terdapat juga orang Arab yang beragama Kristian, dan oleh itu, tidak semestinya semua kedai kebab dan shawarma yang dimiliki oleh orang Arab atau Turki adalah Muslim.

“Dalam kes lelaki ini, tanpa menyiasat terlebih dahulu, dia membeli Currywurst, menganggapnya ayam, tetapi sebenarnya mengandungi daging babi,” katanya.

Hafiz menasihati agar pelancong Muslim untuk tidak terlalu yakin tanpa meminta pengesahan yang lebih lanjut. Beliau menekankan bahawa ada restoran yang meletakkan logo halal dengan maksud yang tersirat, menyebabkan pelanggan terlepas pandang.

“Ini membingungkan kerana kedai itu mempunyai label halal bertuliskan Arab di pintu premis. Apabila melihat tanda halal, dia lebih yakin bahawa itu adalah sosej ayam, padahal tidak.

“Dia terlepas pandang satu perkara, di bawah logo halal itu, tertulis ‘ask for your halal’, yang bermaksud perlu meminta makanan halal. Di sinilah perangkapnya, ramai yang terkena, terutama mereka yang tidak fasih berbahasa Jerman.

“Jangan malu bertanya untuk memastikan. Ingatlah, malu bertanya sesat jalan,” katanya, menasihati agar orang ramai sentiasa berhati-hati ketika mencari makanan halal di luar negara.

Komen daripada warganet turut menyatakan bahawa perkara ini juga berlaku di restoran Arab di Malaysia, dan ramai yang bersetuju dengan nasihat Hafiz untuk sentiasa menegur dan meminta pengesahan ketika mencari makanan halal.

BACA: “Ulang tahun kelahiran aku ke-16, ibu cakap dia ada benda nak bagitahu sambil menangis teresak-esak minta aku sabar, rupanya dia..”